Berita UtamaUtama

Tg Piai: Polis lulus 42 permit kempen ‘walkabout’

SPR adakan mesyuarat bersama semua ejen, wakil calon

KUALA LUMPUR, 17 Rabiulawal 1441H, Khamis – Sebanyak 42 permit kempen ‘walkabout’ atau tinjauan mesra diluluskan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada hari pertama pengumuman penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong.

Beliau berkata, pada hari berkenaan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengadakan mesyuarat bersama semua ejen dan wakil calon berhubung perkara itu.

“Jadi, itu (permohonan permit untuk walkabout bagi PRK) bukanlah perkara baharu …bukan (syarat-syarat diumumkan) pada masa pertengahan kempen seperti yang dituduh,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang), yang mahukan penjelasan sama ada arahan supaya calon perlu mendapatkan permit sebelum berkempen secara walkabout dikeluarkan dengan niat jahat atau malafide kerana dimaklumkan pada pertengahan kempen PRK Tanjung Piai.

Sementara itu, Liew berkata setiap calon parti yang bertanding pada PRK Tanjung Piai juga telah dimaklumkan untuk menyatakan jenis program ataupun aktiviti secara jelas di ruangan borang permohonan permit kempen pilihan raya yang disediakan pihak polis.

“Selain itu pemakluman permohonan permit kempen pilihan raya telah beri penekanan kepada semua khususnya berkaitan aktiviti kempen walkabout.

“Dalam meluluskan sesuatu permohonan ini, pihak polis akan meneliti semua aspek terutama berkaitan dengan soal keselamatan dan juga kepentingan semua pihak yang terlibat. Ini adalah perlu bagi memastikan proses kempen berjalan dengan lancar, teratur serta terkawal,” kata Liew.

Beliau menjawab soalan asal Azalina, yang meminta perdana menteri menyatakan apakah justifikasi kerajaan dalam menetapkan program tinjauan mesra turut dianggap sebagai kempen bergerak dan perlu memohon permit daripada PDRM terlebih dahulu.- Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close