Berita UtamaIstimewaUtama

Sikap prejudis masih menebal kerana sekolah vernakular

Tiada data rasmi sekolah jenis kebangsaan wujud perpaduan kaum

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 17 Rabiulawal 1441H, Khamis – Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) menggesa kerajaan menilai semula sama ada kewujudan sekolah vernakular di negara ini benar-benar mewujudkan perpaduan kaum seperti dakwaan segelintir pihak.

Ini kerana tiada data statistik rasmi menunjukkan perkara itu, malah peratusan pelajar Melayu di sekolah jenis kebangsaan masih belum mencapai 20 peratus.

Presiden iGuru, Mohd Azizee Hasan menegaskan, sikap prejudis sesama kaum masih menebal berikutan kesan daripada kewujudan sekolah vernakular.

Selain itu, kewujudan sekolah jenis kebangsaan ini juga menyuburkan lagi fahaman cauvinis serta ekstremis dalam kalangan rakyat.

“Justeru perjuangan untuk menghadapi isu sekolah vernakular tidak akan berakhir. iGuru akan terus menyarankan kerajaan mewujudkan sekolah satu aliran dan sentiasa menyokong sebarang usaha ke arah itu,” katanya kepada Ismaweb.

Semalam, Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching menyifatkan tindakan Naib Presiden Parti Bumiputera Pesaka Malaysia (Putra), Mohd Khairul Azam Abdul Aziz yang mahu mencabar kewujudan sekolah vernakular di Mahkamah Tinggi hanya membuang masa dan membazir sumber.

Beliau berkata, isu sekolah vernakular tidak wujud kerana Mahkamah Persekutuan telah memutuskan bahawa Menteri Pendidikan berkuasa untuk membina sekolah Cina dan Tamil.

Terdahulu, Nie Ching dilaporkan berkata, DAP – parti yang dominan dalam kerajaan Malaysia – akan bekerjasama dengan Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) dan Sekolah Menengah Persendirian Chong Hwa Kuala Lumpur bagi memastikan niat mencabar kedudukan sekolah Cina dan Tamil tidak kesampaian.

“Kami tidak boleh menghalang seseorang untuk (bawa isu) ke mahkamah dan kami tidak leka.

“Jika dia mahu lakukan provokasi, maka kami pasti akan menggunakan sifat paling keras untuk mempertahankan hak belajar bahasa ibunda,” kata Nie Ching seperti dilapor Sinchew Daily.

Kenyataan Nie Ching itu susulan keputusan Mohd Khairul Azam yang mahu membawa kes berkenaan ke Mahkamah Tinggi selepas Mahkamah Persekutuan menolak permohonannya untuk mencabar keabsahan sekolah vernakular.

Khairul Azam memfailkan satu usul di bawah Perkara 4(3) Perlembagaan Persekutuan memohon perisytiharan terhadap pindaan Akta Pendidikan 1996 untuk membenarkan sekolah vernakular terus wujud sebagai tidak berperlembagaan dan bertentangan.

Permohonan itu dibuat di Mahkamah Persekutuan Kuala Lumpur dengan menamakan menteri pendidikan sebagai defendan pertama dan kerajaan Malaysia sebagai defendan kedua.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close