Berita UtamaUtama

Khalid terdesak pujuk penduduk jual tanah Kampung Baru

Beri jaminan bertulis pembangunan Kg Baru takkan jejas orang Melayu

BANGI, 17 Rabiulawal 1441H, Khamis – Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad digesa menjelaskan mekanisme yang diguna bagi memastikan sasaran untuk meningkatkan jumlah penduduk Melayu di Kampung Baru menjadi 180,000 orang benar-benar dicapai.

Mengakui terkejut, Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, sasaran yang ditetapkan adalah terlalu tinggi berbanding bancian Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) pada 2010, menunjukkan jumlah orang Melayu menetap di Kampung Baru hanyalah seramai 18,372 orang.

Pada masa sama, beliau turut meminta Khalid memberi jaminan bertulis bahawa pembangunan Kampung Baru tidak akan menjejaskan kepentingan orang Melayu, khususnya yang membabitkan kepentingan sosial dan ekonomi mereka.

Beliau menegaskan, ia sangat penting kerana tiada satu pun peruntukan dalam Akta Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (Akta 733) yang memberi jaminan mutlak bahawa pembangunan Kampung Baru tidak akan menjejaskan kepentingan orang Melayu.

“Apa yang ada dalam Akta 733 hanyalah penubuhan Majlis Penasihat untuk menasihati Perbadanan mengenai perkara yang berhubungan dengan kepentingan orang Melayu di Kampung Baru dan apa-apa perkara lain yang dirujuk kepadanya oleh Perbadanan.

“Begitupun, Seksyen 19 (3) Akta 733 tidak mewajibkan nasihat Majlis Penasihat diterima pakai oleh Perbadanan, di mana apa yang diperuntukkan hanyalah nasihat ini ‘hendaklah diteliti, dikaji dan, jika bersesuaian, hendaklah diterima pakai oleh Perbadanan’,” kata Khairuddin.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kenyataan Khalid pada dasarnya adalah tindakan terdesak untuk memujuk orang Melayu di Kampung Baru supaya menjual tanah mereka kepada kerajaan setelah pelbagai  menemui kegagalan.

“Paling mengejutkan apabila Khalid kini menggadai prinsip perjuangannya dengan menggunakan retorik Melayu sedangkan beliau sebelum ini dikenali paling lantang mempertikai retorik Melayu, termasuk menyerang Kongres Maruah Melayu,” katanya.

Sebelum ini, Khalid dilaporkan berkata, tujuan kerajaan PH hendak membangunkan Kampung Baru adalah untuk mengekalkan matlamat asal kewujudan kampung itu, yang mana tanah anugerah itu diberikan untuk memastikan penduduk Melayu ada di Kuala Lumpur.

Katanya, untuk mencapai matlamat itu, dan menambahkan lagi bilangan kependudukan Melayu di Kuala Lumpur, mereka perlu bergerak ke depan dan kawasan berkenaan perlu dibangunkan mengikut aliran zaman.

“Sekarang penduduk Kuala Lumpur hampir mencecah 2 juta orang, jadi matlamat asal untuk wujudkan jumlah penduduk Melayu yang munasabah tidak akan tercapai jika kita kekalkan (Kampung Baru) seperti pada 1890 atau 1900.

“Jadi kita kena bangunkan kawasan itu mengikut aliran zaman supaya jumlah penduduk Melayu kita dapat tingkatkan sehingga 180,000 misalnya,” kata Khalid.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close