Berita UtamaUtama

Kempen BMF kena berterusan, jangan bermusim: UMMAH

Roadshow Rasmi Karnival BMF di 14 negeri bermula Januari 2020

Oleh Nurul Atikah Mohd Rosli

BANGI, 17 Rabiulawal 1441H, Khamis – Kempen Buy Muslim First (BMF) atau Beli Produk Muslim Dulu, kini semakin memberansangkan dan akan meluas ke seluruh negeri.

Ketua Prasarana Kempen Beli Produk Muslim Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Haji Mohd Nor Izzat Haji Mohd Johari berkata, pihaknya akan mengadakan Roadshow Rasmi Karnival BMF di 14 negeri bermula Januari 2020.

Namun, katanya, setakat ini beberapa karnival sudah berlangsung di negeri Pahang seperti di Kuantan, Raub dan bakal dianjurkan di Jerantut.

“Bagi ‘roadshow’ pelancaran kempen, hanya tinggal 3 negeri belum dilancarkan seperti Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Dalam pada itu, katanya, kempen BMF masih berada dalam gelombang pertama dan proses mendidik pengguna untuk menukar corak pembelian daripada produk luar kepada beli produk muslim memerlukan masa.

Beliau bagaimanapun mengakui, ramai peniaga dan pengusaha memberitahu mereka mendapat hasil jualan yang lebih tinggi dan berlipat kali ganda sejak BMF dilancarkan.

“Peningkatan hasil jualan adalah sangat tinggi. Ada yang meningkat 5-10 kali ganda, malah, ada pengusaha dan pengeluar produk mengalami kejutan jumlah jualan kerana permintaan terlalu tinggi dan mereka berusaha memenuhi permintaan luar biasa ini,” katanya.

Walaupun BMF banyak membantu peningkatan ekonomi muslim secara total, katanya perlu difahami bahawa kempen ini bukan bermusim, dan perlu digerakkan secara berterusan.

“Dalam fasa pertama, kita didik pengguna Islam beli produk muslim. Proses ini memakan masa 6-12 bulan kerana perlu menukar corak cara hidup pengguna kepada produk dan perkhidmatan muslim,” katanya.

Terdahulu, UMMAH dengan kerjasama Koperasi Al-Hilal Berhad (Kohilal) dan Abata adalah penggerak utama dalam Kempen Membeli Produk Muslim kepada masyarakat Islam di negara ini.

Kempen ini bertujuan membantu meningkatkan pendapatan peniaga Islam dan memberi alternatif lain kepada masyarakat Islam.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close