Berita UtamaUtama

Ganti segera Tanah Rizab Melayu dengan nilai sama

Kerajaan Persekutuan boleh tebus TRM dari pihak swasta serta digazet

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 17 Rabiulawal 1441H, Khamis – Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Aminuddin Yahaya mengesyorkan Kerajaan Pusat mengeluarkan arahan kepada negeri supaya menggantikan semula Tanah Rizab Melayu (TRM) yang diambil.

Beliau menjelaskan, langkah itu bagi memastikan wasiat kedua daripada tujuh wasiat yang dikeluarkan Majlis Raja-Raja Melayu pada 5 Ogos 1957 boleh dikekalkan.

Wasiat itu menyebut:

“Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, tanah simpanan Melayu sehingga nisbah 50 peratus selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain.”

Aminuddin berkata, atas wasiat berkenaan, kerajaan wajib menggantikan Tanah Rizab Melayu yang telah diambil dengan tanah yang sama nilai harganya.

Selain itu, beliau yang juga Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) menyarankan Kerajaan Persekutuan menebus semula Tanah Rizab Melayu daripada pihak swasta serta digazetkan.

Setakat tahun 2017, nisbah keluasan Tanah Rizab Melayu masih 30 hingga 40 peratus, di mana belum mencapai 50 peratus seperti yang terkandung dalam ‘Tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu’.

Pakar hartanah, Dr Mohd Hasrol Haffiz Aliasak sebelum ini berkata, kebanyakan kes kehilangan tanah rizab berpunca daripada kegagalan pihak bertanggungjawab mematuhi syarat yang telah ditetapkan di dalam Artikel 89(3), Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, sehingga Laporan Audit Negara diterbitkan pada tahun 2013, Selangor dan Pahang mengalami penyusutan agak tinggi berbanding dengan negeri-negeri lain.

Namun tidak dinafikan, selepas laporan itu dikeluarkan, negeri terbabit mula mengambil langkah drastik menggantikan tanah rizab yang susut.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close