Berita UtamaUtama

Dilarang jual vape guna cecair nikotin: KKM

Penguatkuasaan seluruh negara, tertumpu di kedai dekat sekolah

KUALA LUMPUR, 17 Rabiulawal 1441H, Khamis – Kementerian Kesihatan melaksanakan tindakan penguatkuasaan terhadap penjualan rokok elektronik mengandungi cecair nikotin dan penggunaannya dalam kalangan mereka yang berusia 18 tahun dan ke bawah dalam usaha membanteras gejala vape dalam kalangan pelajar sekolah.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, tindakan penguatkuasaan yang dijalankan di seluruh negara itu tertumpu kepada kedai-kedai menjual rokok elektronik atau vape berhampiran sekolah yang menjadi akses kepada pelajar.

“Rokok elektronik yang menggunakan cecair bernikotin adalah dikawal di bawah Akta Racun 1952 dan dilarang penjualannya kecuali oleh ahli farmasi berlesen serta pengamal perubatan berdaftar,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang), mengenai langkah mengawal penjualan vape atau rokok elektronik yang kini menjadi trend serta tarikan terutama remaja dan pelajar sekolah.

Dalam pada itu, Dzulkefly berkata, kementeriannya juga giat menjalankan penguatkuasaan pendidikan berkaitan larangan merokok di premis makanan dengan 146,607 premis makanan telah diperiksa setakat ini.

Katanya, pihaknya turut mengeluarkan notis amaran kepada 27,759 premis kerana gagal meletakkan tanda larangan merokok, manakala 3,889 notis dikeluarkan bagi orang yang didapati merokok di kawasan kedai makan.

Menurutnya, tindakan penguatkuasaan undang-undang terhadap perokok yang ingkar larangan merokok di semua premis makanan akan bermula 1 Januari tahun depan.- Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close