Berita Utama

PRN Kelantan: PAS hantar lebih 100 nama untuk tapisan Majlis Syura Ulama

KOTA BHARU, 2 Zulhijjah 1444H, Rabu – PAS Kelantan telah menghantar senarai nama lebih 100 calon yang berkelayakan bagi mewakili parti itu untuk bertanding di 39 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Setiausaha PAS Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat berkata, setiap DUN telah menghantar antara tiga hingga lima nama calon kepada pimpinan parti peringkat negeri.

“Dalam senarai itu ada juga dihantar nama penyandang kerusi DUN. Kita tidak mensyaratkan jumlah calon tetapi purata setiap DUN menghantar antara tiga hingga lima nama.

“Senarai nama itu telah dibawa untuk tapisan di peringkat Majlis Syura PAS,” katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya di Kota Darul Naim di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Roslan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan Dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Negeri berkata dalam senarai nama yang dihantar itu, PAS meletakkan calon yang terdiri daripada pelbagai bidang pekerjaan seperti teknokrat, profesional dan ulama.

“Dalam senarai nama yang dihantar ada kira-kira 30 peratus calon muka baru. Senarai itu turut meletakkan calon wanita,” katanya.

Ketika ditanya jika ada penyandang yang tidak akan mempertahankan kerusi pada PRN nanti, Wan Roslan mengakui ada yang menawarkan diri untuk tidak bertanding namun beliau tidak mendedahkan nama ADUN terbabit.

Sementara itu Wan Roslan turut mengesahkan PAS akan bertanding di 39 kerusi DUN manakala rakan sekutu dalam Perikatan Nasional (PN) iaitu Bersatu akan menentang Barisan Nasional (BN) di enam kerusi.

PAS menguasai DUN Kelantan dengan 37 kerusi, Barisan Nasional (tujuh) dan Bersatu (satu).

DUN Kelantan akan dibubarkan esok bagi memberi laluan kepada PRN dalam tempoh 60 hari. -Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button