Berita UtamaUtama

Bapa anak tidak sah taraf tak boleh daftar nama di bawah BDRA

Undang-undang Islam ditegakkan kepentingan terbaik bagi negara

PUTRAJAYA, 17 Rabiulawal 1441H, Khamis – Seorang bapa kepada anak tidak sah taraf tidak boleh mendaftarkan nama peribadinya di bawah Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian (BDRA) 1957 bagi anak itu menggunakan namanya daripada ‘Abdullah’ kerana peruntukan itu hanya membenarkan bagi mereka yang menggunakan nama keluarga, Mahkamah Persekutuan diberitahu.

Peguam Kanan Persekutuan, Suzana Atan berhujah di hadapan panel tujuh hakim bahawa Seksyen 13A BDRA tidak terpakai bagi orang Melayu atau Hindu kerana mereka tidak mempunyai nama keluarga.

“Permohonan untuk mendaftar di bawah nama bapa dalam kes ini adalah “M.E” Ia bukan nama keluarga. Ia adalah nama bapa itu,” katanya dalam rayuan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), ketua pengarahnya dan kerajaan yang didengar semula oleh mahkamah.

JPN, ketua pengarahnya dan kerajaan merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada Mei 2017, yang memutuskan bahawa anak pasangan Islam yang dilahirkan luar nikah (anak tak sah taraf) boleh menggunakan ‘bin atau binti’ bapanya, dan bukannya ‘Abdullah’.

Suzana yang mewakili perayu, berkata orang Melayu tidak mempunyai nama keluarga dan mereka menggunakan nama bapa mereka, serta menambah berdasarkan pendaftaran Seksyen 13A, ia hanya terpakai kepada masyarakat Cina dan Eurasia yang mempunyai nama keluarga.

Suzana berkata, surname merujuk kepada nama keluarga dan nama keturunan yang berbeza dengan nama peribadi.

“Mahkamah Rayuan yang memutuskan kanak-kanak itu boleh menggunakan nama bapanya berdasarkan Seksyen 13A telah terkhilaf dalam fakta dan undang-undang,” katanya.

Suzana juga berhujah ia juga adalah munasabah bagi ketua pengarah JPN untuk merujuk kepada Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan ketika mendaftar kelahiran seorang anak muslim.

Peguam K Shanmuga berhujah Seksyen 13A terpakai bagi semua rakyat Malaysia dan JPN terikat dengan statut untuk memasukkan nama bapa sebagai nama keluarga patronymic bagi anaknya.

“Ia tidak menyatakan bahawa peruntukan berlainan terpakai bagi kanak-kanak muslim atau ibu bapa muslim,” katanya.

Shanmuga menegaskan bahawa undang-undang Islam tidak konsisten berhubung konvensyen penamaan anak-anak yang dianggap sebagai tidak sah taraf, beliau berkata, contohnya di Perlis, kedudukan anak-anak yang dilahirkan luar nikah masih boleh menggunakan nama bapanya.

Beliau berkata, JPN tidak mempunyai kuasa di bawah undang-undang untuk menguatkuasakan penggunaan nama ‘Abdullah’ kepada nama kanak-kanak itu.

Peguam Datuk Sulaiman Abdullah yang mewakili Majlis Agama Islam Johor berhujah bagi umat Islam, kepentingan terbaik bagi kanak-kanak dan ibu bapanya adalah mematuhi undang-undang Islam dan lain-lain adalah sekunder.

Beliau berkata, perkara itu perlu didengar oleh Mahkamah Syariah dan bukannya Mahkamah Sivil kerana ia membabitkan kesahihan sah taraf kanak-kanak itu.

Beliau berkata, adalah kepentingan terbaik negara bagi undang-undang Islam ditegakkan dan tidak mengetepikannya melalui keputusan Mahkamah Rayuan.

Bagi kes ini, kanak-kanak terbabit dilahirkan kurang enam bulan selepas perkahwinan ibu bapanya, yang dianggap sebagai tidak sah di bawah undang-undang syariah.

Kedua ibu bapanya yang berasal dari Johor (kedua-dua identiti dirahsiakan), memohon kepada JPN di bawah Seksyen 13 BDRA untuk meletak nama bapa dalam sijil kelahiran tetapi JPN enggan menggantikan nama bapa kandung itu atas alasan anak itu tidak sah taraf.

Ibu bapa itu kemudiannya memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi tetapi ditolak pada 4 Ogos 2016, bagaimanapun Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan itu pada 2017, dan membenarkan semakan kehakiman mereka untuk mengarahkan ketua pengarah JPN menggantikan nama ‘Abdullah’ kepada nama bapa kanak-kanak itu dalam sijil kelahiran.

Hakim Besar Malaya, Tan Sri Azahar Mohamed yang mengetuai panel hakim Mahkamah Persekutuan berkata, keputusan rayuan kes itu ditangguhkan kepada satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian kerana mereka memerlukan masa untuk membincangkannya secara teliti.

Panel itu turut dianggotai Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Seri David Wong Dak Wah dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Rohana Yusuf, Datuk Setia Mohd Zawawi Salleh, Datuk Abang Iskandar Abang Hashim, Tan Sri Idrus Harun dan Datuk P Nallini.

Terdahulu, panel itu menolak permohonan Majlis Agama Islam Johor untuk memasukkan seorang lagi hakim, Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Ahmad Maarop yang juga seorang daripada panel lima hakim yang mendengar rayuan kes itu, untuk menyampaikan penghakiman dalam rayuan tersebut. Hakim yang lain telah bersara dan seorang meletakkan jawatan.

Di bawah Seksyen 78 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 menyatakan bahawa mesti ada dua hakim yang tinggal, untuk menyampaikan penghakiman. – Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close