Berita UtamaPRK Tg. PiaiUtama

Sokongan terhadap perjuangan Berjasa semakin `mencanak’

Terima lebih 1,000 ahli baharu dalam seminggu: Tok Badh

Oleh Athirah Huda Zalhe

PONTIAN, 16 Rabiulawal 1441H, Rabu – Jumlah keahlian Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) semakin bertambah selepas mengambil keputusan untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

Presidennya, Prof Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz berkata, perkara tersebut dibuktikan selepas Berjasa menerima lebih 1,000 keahlian baharu seminggu selepas proses penamaan calon dan tempoh berkempen berlangsung.

Beliau berkata, jumlah berkenaan hanyalah berdasarkan kepada permohonan yang dibuat secara dalam talian di laman web Berjasa, dan tidak termasuk dalam kalangan penduduk di Tanjung Piai.

“Kita anggarkan jumlah permohonan baharu itu dibuat hampir 200 orang sehari sejak penamaan calon. Itu hanyalah jumlah permohonan menerusi laman web, dan belum termasuk di Tanjung Piai.

“Ada penduduk di sini yang mengisi borang menjadi ahli, bahkan menawarkan untuk membuka cawangan Berjasa di Tanjung Piai. Insya-Allah, Berjasa akan tubuhkan cawangan di sini.

“Saya sangat menghargai sambutan penduduk di sini, yang bukan sahaja menerima Berjasa, malah ada yang memberi kita duit, menjadi ahli dan menawarkan untuk buka cawangan,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Pada masa sama, Prof Badhrulhisham yang juga calon Berjasa di Tanjung Piai berkata, parti itu merancang pelbagai program khusus untuk membangunkan jati diri, sekiranya dipilih mewakili kawasan itu ke Parlimen.

Tidak mahu menawarkan janji bersifat ‘materialistik’, beliau berkata, Berjasa mahu manifestonya berfokus ke arah program yang membina semangat perpaduan antara kaum.

“Kekuatan kami, sememang kita sudah ada modul-modul untuk program bagi semua lapisan umur, termasuk anak muda, keluarga dan peringkat sekolah.

“Berjasa mahu membuat program yang memupuk semangat perpaduan, memberi penjelasan mengenai peranan warganegara, Perlembagaan, kontrak sosial dan perpaduan dalam kalangan kaum,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close