Berita UtamaIstimewaUtama

Semak balik keputusan sokong MCA

Pendirian PAS terhadap Berjasa di Tg Piai berasaskan premis yang salah

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 16 Rabiulawal 1441H, Rabu – PAS digesa supaya menyemak semula pendirian parti itu untuk menyokong calon MCA, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

Amir Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman berkata, ini kerana pendirian dibuat PAS sebelum ini berdasarkan premis yang salah, memandangkan MCA dan MIC belum lagi menyertai Muafakat Nasional sebagaimana disahkan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini.

Sebelum ini, PAS berpendirian menyokong calon BN yang diwakili Jeck Seng berbanding calon Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa), Prof Datuk Dr Badrulhisham Abd Aziz sebagai rakan komponennya dalam Gagasan Sejahtera.

Bahkan, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut dilaporkan akan mengkaji semula hubungan dengan Berjasa dalam Gagasan Sejahtera susulan tindakan parti itu meletakkan calon di Tanjung Piai.

Gagasan Sejahtera adalah gabungan politik yang diwujudkan pada 2016 dengan hasrat menjadi blok ketiga dalam senario politik tanah air, dianggotai PAS, Berjasa dan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan).

Mengulas perkara itu, Ustaz Abdullah Zaik menyifatkan tindakan PAS yang berlebihan menyokong MCA diibaratkan seperti ‘lebih sudu daripada kuah’.

“Apabila UMNO meletakkan calon MCA, ia tidak sepatutnya mengikat PAS untuk menyatakan sokongan. Ini bermakna, pendirian yang dibuat PAS untuk PRK Tanjung Piai adalah premis yang salah.

“Ini kerana, MCA bukanlah termasuk dalam Muafakat Nasional yang dimeterai antara PAS dan UMNO pada September lalu,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Terdahulu, Ismail Sabri dilaporkan berkata, MCA belum lagi menyertai Muafakat Nasional, sebaliknya bersama dalam pakatan Barisan Nasional (BN).

Kenyataan pemimpin kanan UMNO itu jelas bertentangan dengan kenyataan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan sebelum ini, yang menyatakan bahawa piagam Muafakat Nasional menunjukkan UMNO yang menandatangani dokumen itu – bermaksud berserta dengan BN, MCA dan MIC, manakala Gagasan Sejahtera yang disertai Berjasa dan Ikatan.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close