Berita UtamaUtama

Kerajaan tolong cakna isu berkaitan tanah rizab Melayu

Bakal susut jika tiada tindakan segera diambil

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 16 Rabiulawal 1441H, Rabu – Kerajaan tidak mustahil mampu meletakkan nisbah atau peratus tanah rizab Melayu sehingga ke tahap 50 peratus, sekiranya diperuntukkan di dalam enakmen Rizab Melayu negeri dan Perlembagaan Persekutuan dipatuhi.

Pakar hartanah, Dr Mohd Hasrol Haffiz Aliasak berkata, kebanyakan kes kehilangan tanah rizab berpunca daripada kegagalan pihak bertanggungjawab mematuhi syarat yang telah ditetapkan di dalam Artikel 89(3), Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, ini kerana, tiada ketegasan yang diberikan di dalam artikel berkenaan menyebabkan ia gagal dipatuhi.

“Namun begitu, dengan merujuk kepada ERM Bab 142 yang digunakan bagi NMB, ada suatu peruntukan berkenaan dengan hal memasukkan catatan ‘peringatan’ atau ‘memorial’ di dalam dokumen hak milik tanah rizab Melayu yang telah dibatalkan dan digantikan semula.

“Hanya peruntukan denda RM100 sahaja bagi kegagalan tersebut dan saya melihat ia tidak berapa tegas dalam usaha melindungi tanah rizab Melayu,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Justeru, Dr Mohd Hasrol mencadangkan, supaya jumlah denda ditingkatkan kepada suatu kadar yang munasabah serta ditambah dengan tindakan penjara untuk tempoh tertentu atau kedua-duanya sekali.

“Ini kerana, tindakan demikian dianggap sebagai suatu kesalahan. Di dalam Perlembagaan Persekutuan tidak memperuntukkan sebarang bentuk hukuman.

“Oleh itu, ketegasan daripada sudut bentuk penguatkuasaan adalah penting bagi memastikan peratusan keluasan tanah rizab Melayu dapat ditingkatkan,” katanya.

Setakat tahun 2017, nisbah keluasan tanah rizab Melayu masih 30 hingga 40 peratus, di mana belum mencapai 50 peratus seperti yang terkandung dalam ‘Tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu’.

Wasiat kedua daripada tujuh wasiat yang dikeluarkan Majlis Raja-Raja Melayu pada 5 Ogos 1957 itu menyebut:

“Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, tanah simpanan Melayu sehingga nisbah 50 peratus selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain.”

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah berkata, pengambilan tanah rizab Melayu untuk pembangunan dan sering tidak diganti dengan keluasan atau nilai sama adalah antara isu yang memberi kesan serius kepada kedudukan tanah itu sekarang.

Tambah memburukkan keadaan, katanya, apabila tanah yang dinamakan ‘simpanan’ untuk kesejahteraan orang Melayu sering kali ditadbir sebagai ‘tanah terbiar’ atau ‘tanah kurang nilai’ sehingga menjatuhkan nilai pasaran hartanah yang amat berharga itu.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close