Berita UtamaPRK Tg. PiaiUtama

Berjasa adalah penyelesai masalah pengundi Tanjung Piai

Tolak pemimpin jaga kroni dan kenyang perut sendiri

Oleh Athirah Huda Zalhe

PONTIAN, 16 Rabiulawal 1441H, Rabu – Tidak salah sekiranya hasrat Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) bertanding di kerusi Parlimen Tanjung Piai demi membawa suara masyarakat di sana yang mahukan pemimpin Melayu mewakili mereka di Parlimen.

Ketua Pemuda Berjasa, Iqbal Hakim Abdul Razak berkata, parti itu hadir membawa aspirasi pengundi dan juga penyelesai kepada mereka yang mencari calon muslim berwibawa serta berintegriti.

Walaupun dituduh sebagai rasis, beliau berkata, formula yang diamalkan Berjasa adalah tepat iaitu meletakkan calon Melayu di kawasan majoriti diduduki kaum berkenaan.

“Di Tanjung Piai, kita ada hampir 58 peratus pengundi Melayu yang meningkat tahun demi tahun bilangannya. Maka, selayaknya kita menghantar wakil rakyat yang faham denyut nadi rakyat majoriti.

“Adakah ia pelik dan salah? Tidak salah apabila Berjasa hadir membawa suara rakyat dan suara masyarakat Tanjung Piai, yang minta ada wakil daripada orang Melayu di Parlimen,” katanya dalam ceramah kelompok di Pasar Malam Ladang, Tanjung Piai, hari ini.

Iqbal Hakim berkata, ini bukan kali pertama Berjasa bertanding di Tanjung Piai secara bersendirian kerana parti itu terlibat dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

“Berjasa bertanding dan mahu menyampaikan bahawa negara kita sedang menghadapi situasi yang mencabar.

“Saya terkilan apabila ada seruan ahli politik yang mengatakan kita ke arah Malaysia baharu dan tinggalkan Malaysia lama.

“Malaysia lama yang bagaimana? Malaysia lama yang menyebabkan kita berada dalam situasi hari ini,” katanya.

Iqbal Hakim berkata, Berjasa yakin dengan kewibawaan calonnya, Prof Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz jika dipilih mewakili Tanjung Piai di Parlimen.

“Undilah calon muslim yang berwibawa, jujur, kompeten dan berintegriti. Kerana itulah yang kita sebagai rakyat mahukan, bukannya pemimpin yang setelah mendapat jawatan, hanya kenyangkan perut sendiri dan kroni,” katanya.

Berjasa mempertaruhkan presidennya, Prof Datuk Dr Badrulhisham Abdul Aziz, dalam saingan enam penjuru pada PRK kali ini yang juga PRK kesembilan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Tok Badh iaitu bekas Profesor Kanan dan Pengarah Korporat Strategik Universiti Malaysia Kelantan (UMK) merupakan pemegang Ijazah Kedoktoran dalam bidang Kejuruteraan Kimia dari Universiti Kyoto.

Beliau juga pernah dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Malaysia Pahang (UMP), selain mempunyai pengalaman industri selama 10 tahun bersama syarikat multinasional Amerika Syarikat (AS) dan syarikat milik Tan Sri Syed Mokhtar Bukhari.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close