Berita UtamaDuniaPalestin

10 terkorban, 40 cedera serangan udara dilancarkan rejim Zionis

Dunia mengutuk tindakan tidak berperikemanusian Israel

GAZA, 16 Rabiulawal 1441H, Rabu – Sekurang-kurangnya 10 orang penduduk Palestin terbunuh dalam serangan udara yang dilancarkan Israel terhadap Semenanjung Gaza sejak, semalam.

Antara yang terbunuh dalam serangan berkenaan adalah komander tertinggi Jihad Islam iaitu Bahaa Abu al-Ata, 42, termasuk isterinya pada ketika rejim Zionis memberi amaran lebih banyak serangan akan dilancarkan selepas ini.

Selang beberapa ketika, Gaza pula bertindak melancarkan serangan roket terhadap Israel sehingga mengakibatkan siren amaran dibunyikan di bahagian tengah dan selatan negara tidak diiktiraf itu.

Pasukan perubatan melaporkan, serangan dari Gaza telah menyebabkan penduduk Israel berada dalam ancaman namun begitu tiada kematian atau kecederaan dilaporkan.

Rejim Zionis kemudian bertindak balas dengan melancarkan berpuluh-puluh serangan udara ke Gaza sehingga mengorbankan 10 penduduknya manakala 40 lagi cedera.

Menteri Pertahanan Israel, Naftali Bennett mengumumkan, darurat selama 48 jam di kawasan yang berada dalam lingkungan jarak 80 kilometer dari Gaza.

Sementara itu, Jurucakap Kementerian Luar Jordan, Daifallah al-Fayez berkata, negara berkenaan mengutuk serangan udara Israel, pada ketika Jerman mendesak supaya keganasan dihentikan serta-merta.

Mesir pula dalam satu kenyataan berjanji akan cuba meredakan ketegangan di antara kedua-dua belah pihak bagi memastikan keadaan kembali stabil.  – Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close