Berita UtamaPRK Tg. PiaiUtama

Tak perlu fitnah, ‘gentleman’ berkempen

Budaya serang peribadi sikap orang takut kalah: Tok Badh

Oleh Athirah Huda Zalhe

PONTIAN, 15 Rabiulawal 1441H, Selasa – Budaya fitnah-memfitnah dan menyerang peribadi pihak lain hanyalah sikap orang yang takut menghadapi kekalahan, kata Prof Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz.

Beliau yang juga calon Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) di Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai berkata, semua parti yang bertanding perlulah bersikap ‘gentleman’ dengan meletakkan agenda masing-masing dan melihat sama ada ia diterima rakyat atau tidak.

Katanya, amalan fitnah-memfitnah dan menyerang antara satu sama lain itu adalah budaya lapuk, dan bukan pendekatan yang diambil oleh Berjasa, khususnya di Tanjung Piai.

“Banyak isu-isu setempat yang kita boleh bawa, tanpa perlu memfitnah pihak lain kononnya Berjasa didanai Parti Amanah Negara (PAN) dan DAP, termasuk menggelar kita ‘macai’ Pakatan Harapan (PH).

“Tuduhan seperti itu sudah kita agak, kerana PRU13 lagi kita dituduh kononnya macai UMNO, sekarang PH pula. Seolah-olah pihak yang mengamalkan politik lapuk ini tiada idea baru,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas serangan yang dilakukan pihak tertentu ke atas Berjasa, yang mendakwa parti itu kononnya didanai oleh PAN dan DAP.

Terdahulu, satu laporan polis dibuat Berjasa Johor di Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian hari ini, berhubung sebaran fitnah terhadap parti berkenaan melalui satu hantaran Facebook yang ditularkan sejak beberapa hari lalu.

Mengulas lanjut, Presiden Berjasa itu berkata, walaupun parti berkenaan berdepan tohmahan yang tidak masuk akal, sambutan serta sokongan penduduk di Tanjung Piai tetap memberansangkan.

“Justeru, kita mengharapkan supaya tempoh kempen yang berbaki tiga hari ini dijalankan secara sihat tanpa ada serangan peribadi atau memfitnah mana-mana parti atau calon.

“Berjasa juga sentiasa mengingatkan petugas serta jentera parti untuk mereka menjaga adab dan akhlak dengan parti lawan dan masyarakat,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close