Berita Utama

Kenyataan media dakwa siasat KP Perkhidmatan Awam palsu: JPM

Tindakan berniat jahat, jangan kongsi maklumat tidak pasti

BANGI, 8 Muharram 1445H, Rabu – Jabatan Perdana Menteri (JPM) menegaskan kenyataan media yang didakwa dikeluarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung siasatan ke atas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Dr Zulkapli Mohamed adalah palsu.

Penafian itu susulan merujuk kepada kenyataan media bertajuk ‘Siasatan ke atas Datuk Dr Zulkapli Mohamed, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam’ bertarikh 25 Julai 2023, yang didakwa dikeluarkan Perdana Menteri dan sedang tular di platform media sosial.

Kenyataan palsu itu mendakwa bahawa Anwar akan menubuhkan satu jawatankuasa siasatan bagi menyiasat Zulkapli susulan pendedahan berterusan isu-isu berkaitan perkhidmatan awam di media sosial.

Menurut kenyataan palsu itu, siasatan akan tertumpu kepada dakwaan urusan tender kerajaan, penyalahgunaan kuasa berkait isu pemberian biasiswa dan menerima imbuhan daripada kontraktor di Sabah serta konsesi SWCOPRP.

Susulan perkembangan itu, JPM dalam kenyataan hari ini berkata, tindakan mengeluarkan kenyataan terbabit adalah berniat jahat dan mengelirukan rakyat.

“Orang ramai diminta untuk tidak menyebarkan atau berkongsi sebarang maklumat yang tidak pasti atau palsu. Tidak pasti, jangan kongsi!,” kata jabatan itu.

Sehubungan itu, JPM meminta orang ramai untuk merujuk kepada akaun media sosial rasmi jabatan bagi mendapatkan sebarang berita sahih.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button