Berita UtamaUtama

PRK Tg Piai: Proses undi awal selesai jam 5 petang

91 peratus keluar mengundi bagi DUN Pekan Nanas, Kukup

PONTIAN, 15 Rabiulawal 1441H, Selasa – Proses pengundian awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai berakhir pada jam 5.00 petang ini, dengan hampir 100 peratus daripada 280 pengundi yang layak mengundi, berjaya menunaikan tanggungjawab masing-masing.

Setakat 5.00 petang tadi, rekod Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunjukkan, 91 peratus pengundi awal telahpun menunaikan kewajiban mereka.

Terdahulu, saluran satu yang membabitkan 21 pengundi bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pekan Nanas telahpun ditutup jam 1.00 tengah hari tadi, manakala saluran dua untuk 259 pengundi bagi kawasan DUN Kukup ditutup jam 5.00 petang.

Sebelum itu, kedua-dua saluran mengundi di Bangunan Perkep Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian itu, dibuka serentak jam 8.00 pagi.

Pengundi awal merangkumi 210 pegawai dan anggota polis yang bertugas di DUN Kukup, 18 orang yang bertugas di DUN Pekan Nanas, 38 orang bertugas di luar daerah dan 14 orang lagi membabitkan pegawai dan anggota yang telah bersara.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pontian Supt Mustafa Bakri Salleh ketika dihubungi berkata, semua peti undi bagi pengundian awal itu akan disimpan di lokap Balai Polis Pontian sebelum dikira pada hari pengundian 16 November ini, di pusat penjumlahan undi di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di sini.

Selain itu, beliau berkata, tiada insiden tidak diingini berlaku.

Terdahulu, tinjauan pemberita di lokasi pengundian pada awal pagi mendapati cuaca yang baik turut membantu proses pengundian berjalan lancar, dengan 10 pegawai dan anggota polis dari Ibu Pejabat Daerah Pontian turut ditugaskan untuk menjaga keselamatan.

Proses pengundian turut memperlihatkan kehadiran anggota pemerhati SPR dan ejen setiap calon.

Beberapa calon yang bertanding dalam pilihan raya itu juga dilihat sempat melawat pusat pengundian berkenaan, dengan yang terawal ialah calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng pada jam 7.56 pagi.

Ini diikuti calon Gerakan Wendy Subramaniam yang melawat pada jam 8.03 pagi, calon Pakatan Harapan (PH) Karmaine Sardini pada 8.20 pagi, calon Bebas Faridah Aryani Abd Ghaffar pada 10.10 pagi, calon Berjasa Datuk Dr Badrulhisham Abdul Aziz (10.15 pagi) dan seorang lagi calon Bebas iaitu Dr Ang Chuan Lock jam 2.30 petang.

PRK Parlimen Tanjung Piai yang bakal menyaksikan saingan enam penjuru, berlangsung berikutan kematian wakil rakyatnya Datuk Dr Md Farid Md Rafik, pada 21 September lepas akibat komplikasi jantung. -Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close