Berita UtamaIstimewaUtama

MCA, DAP ‘sekepala’ dukung sekolah vernakular

Berjasa konsisten pendirian perkasakan sekolah satu aliran

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 15 Rabiulawal 1441H, Selasa – Walaupun berbeza parti, MCA dan DAP sememangnya ‘sekepala’ dalam mendukung sekolah vernakular meskipun ia menjadi punca jurang persefahaman antara kaum.

Ketua Penerangan Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa), Hazwan Mohamad berkata, keserasian kedua-dua parti itu bukan hanya membabitkan isu sekolah vernakular semata-mata, bahkan turut menjadi benteng pertahanan kepada semua agenda membabitkan kaum Cina, walaupun bertentangan dengan Perlembagaan.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan pemimpin dua parti berkenaan berhubung keputusan Mahkamah Persekutuan menolak permohonan pasukan peguam memperoleh kebenaran untuk mencabar dari segi Perlembagaan kewujudan sekolah vernakular.

Semalam, Setiausaha MCA yang juga bekas Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Chong Sin Woon menegaskan akan terus menyokong sekolah vernakular dan menggesa semua pihak menerimanya sebagai sebahagian daripada sistem pendidikan negara.

Turut berpendirian sama, Timbalan Menteri Pendidikan daripada parti tamak haloba, DAP, Teo Nie Ching yang meminta pihak pemohon menghentikan tindakan mencabar sekolah vernakular kerana kononnya ia sebagai aset penting negara.

Oleh sebab itu, Hazwan berkata, negara memerlukan lebih ramai Ahli Parlimen Melayu dan Islam yang jujur dan berani untuk mengangkat agenda penyatuan semua kaum di Malaysia.

“Berjasa kekal konsisten dengan pendirian bahawa kita perlu memperkasakan sekolah satu aliran. Sudah terlalu lama anak-anak kita dipisahkan bumbung dan dindingnya sehingga jadi punca jurang perpaduan antara kaum di Malaysia,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata, Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai adalah manifestasi penyatuan rakyat Malaysia untuk mengangkat seorang tokoh yang jujur serta bebas cengkaman ideologi daripada mana-mana parti lain.

“Sudah sampai masanya semua rakyat bersatu hati untuk memastikan agenda penyatuan seluruh rakyat. Jika kita terus menambah bilangan Ahli Parlimen bukan Melayu, tembok pemisah antara kaum ini tidak akan dapat diruntuhkan,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close