Berita UtamaPendapatPRK Tg. PiaiUtama

MCA, DAP matlamat sama perjuang kepentingan kaum

Kedua-dua parti lantang pertahan sekolah vernakular

SENI berpolitik sesetengah orang Cina jauh ‘lebih baik’ berbanding Melayu. Makna ‘lebih baik’ ini dilihat dalam konteks untuk kepentingan kaum yang melampau. Walaupun berada dalam dua parti yang secara zahirnya bertentangan ideologi, tetapi kedua-duanya mendokong idealisme untuk mengangkat orang Cina daripada segi kebudayaan, pendidikan dan ekonomi.

Berbeza parti bukan satu masalah bagi orang Cina kerana mereka memberikan fokus pada tujuan politik itu sendiri, iaitu memperjuangkan kaum Cina. Ini jugalah antara pemangkin kekuatan diaspora (tebaran) Cina di seluruh dunia.

Di negara ini antara parti Cina yang dominan ialah MCA dan DAP. MCA sebuah parti Cina yang total tetapi DAP membuka keahlian kepada pelbagai kaum. Bagaimanapun yang mendominasi DAP adalah orang Cina. Kaum lain hanya sekadar memberikan wajah DAP sebagai parti pelbagai kaum. Melayu juga ada menganggotai DAP, tetapi mereka tidak ke mana walaupun penting untuk jawatan-jawatan khusus untuk Melayu Islam.

Dalam berpolitik, antara MCA dan DAP banyak persamaan dan mereka akan bersetuju atas kepentingan kaum. Kedua-dua parti ini telah menolak hudud yang dirancang oleh PAS. Malah hingga saat ini, ketika MCA berada dalam nyawa-nyawa ikan pada pasca PRU14, MCA konsisten menolak hudud.

Dalam isu pendidikan, dua parti ini menjadi satu sejak dulu hingga sekarang dalam isu pendidikan dan budaya. Ketika DAP berada dalam blok pembangkang dan MCA di blok kerajaan, agenda pendidikan Cina diperjuangkan secara bersama, di mana MCA seolah-olah bukan bersama-sama UMNO dalam Barisan Nasional (BN).

Kedua-dua parti ini begitu lantang memperjuangkan pendidikan Cina seperti sekolah vernakular. Kita menjadi begitu sukar untuk membezakan antara suara DAP dan MCA yang berbeza ideologi politik apabila tercetus isu sekolah vernakular. Kedua-dua bangkit mempertahankan sekolah vernakular.

Begitu juga dalam isu menuntut dan mendesak kerajaan dulu dan sekarang mengiktirafkan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC). Menuntut pengiktirafan UEC adalah satu perjuangan politik dan budaya MCA dan DAP.

Ini bukan soal kualiti sistem pendidikan kebangsaan yang lemah. Sebaliknya, ini sebagai satu peluang untuk memastikan sistem pendidikan, budaya dan bahasa Cina mengatasi kaum lain di negara ini.

UEC diambil dari Taiwan kemudian mereka menuntut (memaksa) supaya kerajaan mengiktirafkan sistem yang menafikan kedudukan bahasa Melayu.

Pada peringkat awalnya memang tidak kelihatan agenda politik. Ini kerana yang tampil di depan khalayak adalah pertubuhan bukan kerajaan, Gabungan Persekutuan Pertubuhan Lembaga Sekolah Cina Malaysia (UCSCAM), tetapi lebih dikenali dalam bahasa Cina sebagai Dong Zong.

Tetapi yang berada di belakang Dong Zong adalah DAP, MCA dan Gerakan, dimana mereka bersepakat tanpa mengira ideologi politik. Oleh yang demikian, sama ada BN atau Pakatan Harapan (PH) yang menang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, kedua-dua belah pihak berjanji akan mengiktirafkan UEC. Ketika itu dalam BN ada MCA dan Gerakan, dalam PH ada DAP.

Oleh kerana itu jangan menganggap MCA keseorangan, tambahan pula tidak banyak kerusi yang dimenangi dalam PRU14. MCA tidak keseorangan dalam memperjuangkan kepentingan Cina di negara ini kerana DAP ada dalam kerajaan.

Orang Melayu mesti bijak membuat pilihan kerana parti politik di negara ini sudah tidak dinafikan lagi berteraskan kaum. Maka kepentingan kaum menjadi agenda utama untuk diperjuangkan. Suara kaum yang calon mereka menang dalam PRU akan bergema di Parlimen.

Jangan terlalu percaya dengan retorik bahawa wakil rakyat bukan Melayu akan turut memperjuangkan kepentingan orang Melayu. Kalau begitu, untuk apa ditubuhkan parti berteraskan kaum. Dalam situasi politik negara hari ini, suara Melayu sudah semakin perlahan.

Dalam PH, suara DAP jauh lebih besar sebagai penentu dasar-dasar kerajaan secara tidak langsungnya.Suara Melayu hanya datang daripada PBBM yang jumlah kerusi Parlimennya kecil berbanding DAP. Suara parti Amanah hampir selari dengan DAP yang mendokong politikliberal.

PKR pula bukan semuanya Melayu, ini parti pelbagai kaum di mana agenda pemerkasaan Melayu tidak boleh begitu ketara. Dalam PH kekuatannya ada pada DAP, manakala PBBM dalam banyak segi tidak punya kekuatan dan pengaruh sehebat DAP.

Dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai pada 16 Novenber ini, PH diwakili oleh calon Melayu, Karmaine Sardini (PBBM), Wee Jeck Seng dari MCA mewakili BN, Dr Badhrulhisham Abd Aziz (Berjasa), Wendy Subramaniam (Gerakan), Dr Ang Chuan Lock (calon Bebas) dan Faridah Aryani Abd Ghaffar (calon Bebas).

Banyak pihak kecewa apabila BN memberi laluan kepada MCA untuk PRK Parlimen Tanjung Piai. Dalam PRU14, telah terbukti calon Melayu (PBBM) telah memecah status quo kerana selama ini Tanjung Piai kawasan tradisi MCA. BN telah mengembalikan status quo itu apabila memilih MCA bukan UMNO atau PAS.

Dalam suasana politik semasa yang menyaksikan keretakan parah dalam Pakatan Harapan, pengundi yang komposisi kaumnya 57 peratus Melayu, 42 peratus Cina dan satu peratus India memerlukan calon Melayu yang kuat. Penyertaan Berjasa yang meletakkan Presidennya, Dr Badhrulhisham Abd Aziz menjadi pertaruhan pengundi Melayu.

Hazwan Mohamad
Ketua Penerangan Berjasa

Penafian: Artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak ada kaitan dengan Ismaweb.net atau Media Isma Sdn Bhd.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close