Berita UtamaUtama

Lantik Chin Tong, nampak sangat DAP perlekeh calon Bersatu

Kenapa pilih Karmaine jika ragu komunikasi dia dengan rakyat tempatan

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 15 Rabiulawal 1441H, Selasa – Keputusan untuk melantik Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong sebagai wakil Cina di Tanjung Piai, sekiranya calon Bersatu, Karmaine Sardinie memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sabtu ini, hanya menambah tanggapan buruk terhadap Pakatan Harapan (PH). 

Penganalisis politik, Prof Dr Ahmad Atory Hussain berkata, tindakan itu seolah-olah memperlekehkan kemampuan dan kewibawaan Ketua Bahagian Bersatu Tanjung Piai berkenaan sebagai calon yang telah dipilih untuk mewakili PH.

“Nampak sangat DAP merendahkan kebolehan calon. Padahal pada awalnya mereka mengatakan calon itu paling terbaik. Habis kalau paling terbaik, kenapa nak kata ada masalah komunikasi pula antara calon dan pengundi Cina?

“Saya kira tentu calon PH berkecil hati. Saya tak setuju cara sebegini dilakukan, kalau niatnya nak naikkan peratusan sokongan, ia memang tak kena. Ini kerja-kerja nak jatuhkan rakan,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Cadangan Setiausaha Agung parti tamak haloba, DAP, Lim Guan Eng mahu melantik Liew Chin Tong sebagai wakil komuniti Cina di Tanjung Piai diumumkan pada satu ceramah di Pekan Nanas baru-baru ini.

Guan Eng berkata, keputusan itu bagi membantu Karmaine kerana sesetengah pengundi Cina bimbang tidak dapat berkomunikasi dengannya dengan berkesan.

Sindir Prof Atory, sekiranya dari awal PH tidak meyakini Karmaine untuk menjadi calon, parti itu sepatutnya meletakkan DAP bertanding di PRK Tanjung Piai.   

“Kita persoal balik, kenapa nak lantik Karmaine jika tak yakin dia boleh berhubung dengan masyarakat tempatan. Lantik DAP sahajalah sebagai wakil calon kalau macam itu keadaannya. 

“Mereka ni seolah-olah hendak kata calon Melayu untuk rakyat Melayu sahaja, dan pemilihan calon Melayu boleh menurunkan lagi undi mereka ini. 

“Biarlah umpama ayam dengan itik sekalipun apabila berkomunikasi, asalkan wakil rakyat itu dapat berkhidmat untuk semua masyarakat, tak perlu nak lantik sekian-sekian individu untuk kaum tertentu,” katanya.

PRK Tanjung Piai menyaksikan saingan enam penjuru membabitkan calon PH, Barisan Nasional (BN), Gerakan, Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan dua calon Bebas.

Pengundian awal hari ini yang bermula pada 8 pagi sehingga 5 petang ini membabitkan dua saluran iaitu, Dewan Undangan Negeri (DUN) Pekan Nanas (Saluran 1) dan DUN Kukup (Saluran 2).

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close