Berita UtamaUtama

JPN tumpas 1,047 kes tipu dokumen, pengenalan diri

Mesyuarat tambah baik sistem JPN bincang perketat SOP

KUALA LUMPUR, 15 Rabiulawal 1441H, Selasa – Berdasarkan rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dari 2013 hingga 30 September 2019, sebanyak 1,047 tangkapan membabitkan orang awam dibuat dan didakwa di bawah Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman berkata, jumlah itu adalah sebahagian daripada 2,100 operasi penguatkuasaan terhadap sindiket penipuan dan pemilikan dokumen pengenalan diri palsu atau milik orang lain yang dijalankan dalam tempoh tersebut.

“Perbuatan penjualan atau pengeluaran dokumen pengenalan diri palsu ini dilakukan atas kapasiti individu berkenaan untuk mengaut keuntungan mudah melalui cara yang salah.

“Justeru, kuasa penuh diberikan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyiasat dan mendakwa pihak yang didapati bersalah,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Che Abdullah Mat Nawi (PAS-Tumpat), yang meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan statistik penipuan sindiket MyKad sejak 2013.

Mengulas lanjut, Mohd Azis memberitahu berhubung penambahbaikan JPN, satu Mesyuarat Jawatankuasa Penambahbaikan Sistem Penyampaian JPN yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri diadakan pada 18 September 2019.

“(Jawatankuasa itu) memutuskan beberapa langkah penambahbaikan serta-merta dan strategi memperkemas sistem penyampaian JPN termasuk memperketatkan Prosedur Operasi Standard (SOP) sedia ada JPN,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Che Abdullah mengenai bentuk penguatkuasaan komprehensif yang akan dilakukan KDN bagi mengatasi masalah sindiket itu, Mohd Azis berkata, bukan mudah untuk dalang terbabit mendapatkan dokumen pengenalan diri.

“Ia (proses mendapatkan pengenalan diri) bukan soal bahasa sahaja, seksyen lain juga ada. Setiap seksyen, pegawai yang terlibat juga adalah berlainan, bukan ‘one-man show’ (dikelolakan sendirian).

“Tetapi pada masa ini, kerajaan mempertimbangkan untuk memastikan ada satu mekanisme untuk memastikan bahawa bayi yang lahir itu mempunyai pertalian secara langsung kepada sijil lahir yang dikeluarkan,” katanya.- Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close