Berita UtamaDuniaUtama

16 maut, 58 cedera kereta api bertembung di Bangladesh

202 kemalangan kereta api dalam tempoh enam bulan tahun ini

DHAKA, 15 Rabiulawal 1441H, Selasa – Sekurang-kurangnya 16 maut dan hampir 60 yang lain cedera dalam nahas membabitkan dua kereta api di Bangladesh, hari ini, kata polis.

Kemalangan pada jam 3 pagi waktu tempatan itu berlaku apabila kereta api yang sedang dalam perjalanan menuju ke Chittagong bertembung dengan kereta api yang menghala ke Dhaka.

“Sekurang-kurangnya 16 orang terbunuh, dan 58 lagi cedera, kami telah hantar mereka ke hospital yang berlainan di rantau ini,” kata ketua polis tempatan, Anisur Rahman kepada AFP.

Kren dan peralatan mengangkat lain dibawa masuk untuk menyelamatkan penumpang yang terperangkap, kebanyakan mereka dilaporkan sedang tidur ketika kemalangan berlaku.

“Semua orang di sekeliling saya menangis, ada yang patah tangan dan kaki,” kata seorang penumpang yang turut cedera.

Pegawai kerajaan di daerah iyu, Hayat ud Doula Khan mengesahkan siasatan telah dilaksanakan sebaik laporan diterima. 

Seorang pegawai keretapi Bangladesh memberitahu pemberita bahawa lampu isyarat yang rosak mungkin punca kejadian.

“Tiga gerabak remuk dan mangsa kelihatan sangat teruk menahan kesakitan,” kata Khan, sambil menambah bahawa perkhidmatan kereta api dari Dhaka telah dihentikan buat sementara waktu.

Kemalangan kereta api adalah biasa di Bangladesh dan kerap berlaku disebabkan oleh lampu isyarat yang lemah atau masalah infrastruktur lain.

Berdasarkan kajian kumpulan penyelidikan media swasta, antara 1 Januari dan 30 Jun tahun ini, sekurang-kurangnya 202 kemalangan kereta api berlaku di negara Asia Selatan itu.

Pada bulan Jun, sebuah kereta api tergelincir ke dalam terusan selepas jambatan yang dilaluinya runtuh. Dilaporkan lima orang terbunuh dan 100 orang cedera. – Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close