Berita UtamaUtama

Tanah rizab Melayu masih rendah, membimbangkan

Nisbah keluasan hanya antara 30 hingga 40 peratus

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 14 Rabiulawal 1441H, Isnin – Tidak mustahil keluasan tanah rizab Melayu kembali susut sekiranya tiada usaha dalam memperkasakan undang-undang sedia ada.

Penganalisis hartanah, Dr Mohd Hasrol Haffiz Aliasak berkata, walaupun ada usaha untuk meningkatkan semula keluasan tanah rizab namun ia masih belum mencapai 50 peratus di Semenanjung seperti yang terkandung dalam ‘Tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu’.

Katanya, sehingga kini, nisbah keluasan masih 30 hingga 40 peratus, di mana setakat tahun 2017 keluasan Tanah Rizab Melayu adalah 4,295,262.90 hektar.

“Walaupun British meninggalkan Tanah Melayu dengan keluasan tanah rizab yang kurang daripada nisbah 50 peratus, pemimpin-pemimpin yang menjadi tunggak pemerintahan Malaysia seharusnya menyambung usaha dalam mencapai nisbah berkenaan atau lebih daripadanya.

“Ini kerana di dalam Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa kerajaan negeri untuk memperluaskan Tanah Rizab Melayu,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Wasiat kedua daripada tujuh wasiat yang dikeluarkan Majlis Raja-Raja Melayu pada 5 Ogos 1957 itu menyebut:

“Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, tanah simpanan Melayu sehingga nisbah 50 peratus selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain.”

Mengulas lanjut, Dr Mohd Hasrul berkata, sehingga Laporan Audit Negara diterbitkan pada tahun 2013, Selangor dan Pahang mengalami penyusutan agak tinggi berbanding dengan negeri-negeri lain.

Bagaimanapun, katanya selepas laporan itu dikeluarkan, negeri terbabit mula mengambil langkah drastik menggantikan tanah rizab yang susut.

“Kebanyakan tanah rizab dibatalkan terlebih dahulu, tetapi tidak disertakan dengan cadangan tanah gantian. Lama-kelamaan, tanah gantian tidak diwartakan yang mengakibatkan tanah rizab Melayu menjadi susut.

“Bermula tahun 2014 tiada lagi negeri yang mengalami penyusutan tanah rizab Melayu, dan didapati berlaku peningkatan keluasan tanah di Perak, Selangor dan Johor,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close