Berita UtamaPRK Tg. PiaiUtama

Pengundi Cina lebih utamakan kaum sendiri berbanding parti

Mahu lantik wakil Cina jika PH menang, Guan Eng dilihat campur tangan jika berlebihan

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 14 Rabiulawal 1441H, Isnin – Penganalisis politik, Prof Madya Dr Mohd Noor Mat Yazid berkata, secara tradisinya pengundi Cina memang akan mengutamakan calon daripada kaumnya sendiri berbanding kaum lain dalam mana-mana pilihan raya yang diadakan.

Pendirian itu juga turut dipraktikkan oleh ahli-ahli bahkan akar umbi di dalam sesebuah parti politik itu sendiri, kata Pensyarah Program Hubungan Antarabangsa Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu.

Beliau berkata demikian susulan pendedahan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang secara terang-terangan mengakui wujudnya sedikit rasa tidak ‘gembira’ dalam kalangan ahli parti itu untuk berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

Bukan itu sahaja, Guan Eng dalam laporan lain turut berkata, jika calon PH, Karmaine Sardini memenangi PRK Parlimen Tanjung Piai, beliau akan melantik Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong sebagai wakil Cina untuk membantu Karmaine kerana sesetengah pengundi Cina bimbang tidak dapat berkomunikasi dengannya dengan berkesan.

“Jika ada sebarang masalah, Liew mempunyai talian khusus terus kepada saya, menteri kewangan,” katanya.

Mengulas perkara itu, Mohd Noor berkata, kenyataan Guan Eng mungkin adalah salah satu cara beliau menarik pengundi Cina di kawasan itu.

Namun, beliau tidak menafikan, sekiranya Menteri Kewangan itu berlebihan dalam urusan khidmat Karmainie di Tanjung Piai sehingga mahu melantik wakil Cina, ia boleh disifatkan sebagai ‘campur tangan’.

“Kalau dia berlebih-lebih nampaklah bahawa calon Bersatu tidak berwibawa. Bergantung. Jika dia melewati lebih dari itu, kira sudah campur tangan. Tetapi seperti telah disebutkan, kita lihat calon Cina ini dalam prinsip asasnya, akan menyokong calon dia. Mungkin Guan Eng nak menarik sokongan kaum Cina.

“Kerana kalau lihat sebelum ini sebagai contoh PRK Teluk Intan, DAP mempertaruhkan Dyana Sofya sebagai calon. Walaupun sebelumnya DAP kuat, tetapi dia kalah pada PRK kali itu. Dalam konteks PRK Tanjung Piai, pengundi Cina mungkin lebih menyokong Jeck Seng. Mereka lebih melihat bangsa dia, daripada parti,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Dalam PRK itu, BN menang kerusi Parlimen Teluk Intan apabila calonnya, Datuk Mah Siew Keong, yang juga Presiden Gerakan, memperoleh majoriti 238 undi setelah mendapat 20,157 undi, manakala calon DAP, Dyana Sofya Mohd Daud meraih 19,919 undi.

PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan susulan kematian wakil rakyatnya Datuk Dr Md Farid Md Rafik pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung.

PRK itu menyaksikan pertandingan enam penjuru membabitkan calon Pakatan Harapan (PH) Karmaine Sardini; Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng mewakili Barisan Nasional (BN); Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz daripada Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa); Wendy Subramaniam mewakili Gerakan serta dua calon Bebas iaitu Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close