Dunia

UK kecam Israel roboh sekolah di Tebing Barat

Gesa Tel Aviv tak ganggu hak pendidikan kanak-kanak Palestin

LONDON, 1 Safar 1445H, Jumaat – United Kingdom (UK) mengkritik negara haram Israel kerana merobohkan sebuah sekolah di Tebing Barat yang diduduki, menurut agensi berita Anadolu.

Susulan tindakan itu, Konsulat British di Baitulmaqdis turut menggesa Tel Aviv tidak mengganggu dan melakukan provokasi berkaitan hak pendidikan kanak-kanak Palestin.

“Semua kanak-kanak mempunyai hak untuk mendapatkan pendidikan. UK menyeru kerajaan Israel untuk menegakkan hak ini kepada kanak-kanak Palestin,” katanya dalam kenyataan di laman sosial X, yang sebelum ini dikenali sebagai Twitter.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Pendidikan Palestin memaklumkan pihak berkuasa Israel merobohkan Sekolah Ein Samia, yang terletak di timur Ramallah.

Menurut kementerian, perbuatan tidak bertanggungjawab itu dilakukan Israel kononnya atas alasan premis sekolah terbabit tidak mempunyai lesen.

Sementara itu, UNESCO Palestin berkata, sekolah itu dirobohkan menjelang hanya beberapa hari sebelum permulaan sesi persekolahan baharu.

“Dalam tempoh 12 bulan lepas, tiga sekolah telah dirobohkan yang menjejaskan kira-kira 78 pelajar.

“Sebanyak 58 sekolah kekal di bawah ancaman perobohan,” katanya dalam hantaran di X.-  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button