Berita Utama

Isu Laut China Selatan: Malaysia usah tunduk ‘permainan nakal’ China

BERJASA syor permuafakatan negara terlibat demi pertahan sempadan masing-masing

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 13 Syawal 1444H, Khamis – Kerajaan Malaysia patut bertegas, berani dan tidak tunduk kepada ‘permainan nakal’ China dalam usaha kuasa dunia itu untuk mendapatkan hak kedaulatan ke atas hampir keseluruhan Laut China Selatan.

Ketua Penerangan BERJASA, Mohd Hamdan Mohd Sharif berkata, Perdana Menteri tidak sepatutnya berdiplomasi atau menggunakan meja perundingan kerana Malaysia akan sentiasa berada di pihak yang kurang berkelebihan (disadvantage side) berdasarkan kuasa, kepentingan ekonomi dan jalinan kerjasama serantau sedia ada.

Sebaliknya, beliau berkata, kerajaan harus berpegang dan menegaskan pendirian tuntas Malaysia berasaskan keputusan mahkamah antarabangsa yang menegaskan tuntutan itu tidak langsung mempunyai asas undang-undang.

“Sebarang provokasi atau pencerobohan yang dilakukan oleh pihak China haruslah ditangani berlunaskan undang-undang antarabangsa tanpa rasa rendah diri mahupun malu alah,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.

Pada masa sama, beliau turut mencadangkan kerajaan Malaysia untuk kembali membawa kes pencerobohan China ini kepada perhatian mahkamah antarabangsa.

Selain itu, untuk menjaga kepentingan maritim, Malaysia disyor mewujudkan permuafakatan antara negara terlibat (Malaysia, Brunei, Filipina, Taiwan dan Vietnam) untuk kekal mempertahankan sempadan negara masing-masing.

Sejak sekian lama, China berterusan menuntut kedaulatan hampir keseluruhan Laut China Selatan, sekali gus mengabaikan keputusan antarabangsa yang tuntutan itu tidak mempunyai asas undang-undang.

Negara republik itu telah mengajukan tuntutan terhadap sebahagian besar Laut China Selatan berdasarkan ‘sembilan garis putus-putus’ yang dilukis pada peta yang berasal dari penghujung tahun 1940-an. 

Tuntutan berkenaan sama sekali tidak diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Bagaimanapun, China telah berusaha untuk mengukuhkan tuntutannya dengan melakukan rondaan dan mempertahankan pangkalan tentera di Laut China Selatan walaupun terdapat bantahan dari negara-negara jiran dan AS.

Isu ini kembali mencetuskan ketegangan di Malaysia apabila tindakan kapal tentera China dilihat semakin kerap berlegar berhampiran Beting Patinggi Ali, kawasan terletak di perairan Sarawak, yang menempatkan pelantar cari gali minyak milik PETRONAS.

Beting Patinggi Ali yang terletak dalam kawasan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia, kini dibangunkan projek lapangan gas mega yang bernilai bilion ringgit.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button