Berita UtamaDr Ridhuan Tee AbdullahKolumnisUtama

Jika Cina jaga Cina, siapa nak jaga Melayu?

Orang Melayu kena buka mata hati, lihat kebobrokan ultra kiasu

KEMPEN PRK Parlimen Tanjung Piai berbaki empat hari lagi. Kempen semakin lama semakin rancak, sensasi dan kontroversi. Pelbagai janji bulan bintang ditawarkan jika menang. Terbaharu, bapa ultra kiasu menawarkan, jika calon PPBM (PH), Karmaine, seorang Melayu menang, seorang pemimpin ultra kiasu Cina akan dilantik, untuk mewakili orang Cina di sana. Atas alasan, jika wakil rakyatnya Melayu, mungkin wujud masalah komunikasi, antara Karmaine dengan orang Cina.

Sebelum saya ulas lanjut, ingin saya bertanya, bagaimana pula jika wakil rakyat Cina yang dimenangi oleh ultra kiasu di DUN dan Parlimen ultra kiasu yang ada sekarang ini, tidak perlukah wakil pemimpin Melayu dilantik untuk menjaga kebajikan Melayu di kawasan majoriti Cina tersebut? Kawasan Cina nak bolot semua. Kawasan Melayu nak kongsi? Banyak cantik?

Satu lagi, bolehkah wakil rakyat ultra kiasu yang menang itu berkomunikasi dengan baik dengan orang Melayu dan boleh memahami hati budi Melayu? Ultra kiasu sungguh bapa ultra kiasu ini. Cina kena jaga Cina. Habis, Melayu siapa nak jaga? Nampak sangat bapa ultra kiasu ini tidak mempercayai orang Melayu. Ini menjadikan saya teringat kisah suami isteri dan mentua mereka. Orang Melayu diminta mengambil sikap “Mak aku, mak engkau”. Bila tiba ultra kiasu “Mak aku, mak aku”.

Selain itu, kenyataan bapa ultra kiasu ini turut membuktikan bahawa selama ini orang Cina, khusus di Tanjung Piai, umum di Malaysia, memang tidak menguasai bahasa Melayu, setelah sekian lama tinggal di bumi bertuah ini? Ada masalah komunikasi. Rakyat Malaysia apa namanya begitu? Jika tinggal di Malaysia, tidak boleh berbahasa Melayu, apa erti kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, jika bahasa ini tidak dapat difahami oleh sebahagian orang Cina. Lebih baik serah kembali status kewarganegaraan.

Jika mengaku rakyat Malaysia, sudah tentu pandai berkomunikasi dan menjaga hati budi majoriti Melayu. Patutlah wakil rakyat ultra kiasu begitu kurang ajar di Parlimen. Pelik sungguh saya, setelah sekian lama tinggal di negara ini, menghirup udara, menikmati ekonomi, masih tidak dapat berkomunikasi dengan baik, sehingga memerlukan wakil Cina bercakap dengan Cina jika calon PH menang nanti. Inilah produk SJKC, Sekolah Persendirian Cina, Kolej Universiti New Era, dan semua institusi ultra kiasu. Mereka hanya menguasai bahasa ibunda sendiri sahaja. Bahasa Melayu selaku bahasa negara dipermainkan begitu sahaja.

Sebenarnya inilah ciri-ciri komunis. Komunis tidak pentingkan agenda negara. Komunis pentingkan agenda sendiri. Budaya sebegini tidak boleh dibiarkan, kerana ia sangat merugikan orang Melayu. Patutlah selama ini Melayu berada di pihak yang rugi apabila berada di kawasan majoriti Cina. Rupanya ultra kiasu hanya menjaga ultra kiasu. Ultra kiasu tidak menjaga Melayu. Saya harap kenyataan ini akan membuka mata hati orang Melayu akan kebobrokan ultra kiasu.

Buka mata, buka minda seluas-luasnya. Benarlah seperti kata Menteri Besar Perak, beliau keseorangan dengan ultra kiasu yang sangat ultra kiasu. Ultra kiasu tidak fikir orang lain, hanya fikir bangsa sendiri. Mahukan pajakan tanah 999 tahun. Ultra kiasu mendakwa mereka adalah parti berbilang kaum. Rupanya tidak. Saya harap sarjan calit tiga turut sedar dengan kenyataan rasis ini. Malaysia tidak ada tempat orang seperti ini.

Benar juga pantun Tok Guru Haji Hadi Awang, kamu tuduh kami Taliban, di belakang kamu ada komunis. Kalau dahulu komunis bergerak bawah tanah, hari ini bergerak secara nyata di atas tanah. Kenapa anak bangsaku masih buta? Jangan jadi seperti lembu dicucuk hidung. Bersuaralah, jika bapa ultra kiasu jika ternyata apa yang dilakukan salah. Jangan diam, jangan gadaikan maruah agama, bangsa dan negara.

Sama juga jika ditakdirkan MCA menang PRK Tanjung Piai, jangan biarkan ultra kiasu ini bongkak sehingga menjejaskan Muafakat Nasional. Sedarlah, UMNO hari ini kuat kerana adanya Muafakat Nasional. Jika tidak, saya tidak tahu nasib UMNO tanpa PAS di sisi. Bila saya dengar kempen bekas Ketua Pemuda UMNO di Tanjung Piai, saya jadi gerun cara dia memuji MCA sebagai kawan lama, menyindir PAS sebagai kawan baru. Kawan baru inilah yang berhempas pulas berkempen untuk memenangkan MCA sehingga sanggup mengetepikan kawan lama, Berjasa, atas semangat Muafakat Nasional.

Jika bekas Ketua Pemuda UMNO ini sudah lupa, mari sangat ingatkan. Imbau kembali gelagat dan telatah MCA apabila BN tewas dalam PRU 14. Terang-terang bercakap mereka mahu kaji kedudukan dalam BN dan mahu keluar daripada BN. Sudah lupa apa yang berlaku ketika PRK Balakong? MCA menggunakan lambang sendiri. MCA tidak mahu menggunakan lambang dacing BN kerana dianggap sebagai “soi” atau sial. BN diketepikan sama sekali. Akhirnya, kalah teruk MCA. MCA tahu mereka tidak boleh hidup tanpa orang Melayu (UMNO dan PAS).

Namun, apabila BN menang dalam PRK Cameron Highland berasaskan formula kerjasama dengan PAS mula menampakkan kejayaan, tatkala itu MCA mula menyondol-nyondol BN. Hebat lakonan MCA ini bukan? Kamu sudah lupa selepas sudah tua kerana tidak menjadi pemuda lagi? Akhirnya, sekali lagi saya ingatkan, jika MCA yang menang dalam PRK Parlimen Tanjung Piai ini, tidak ada bezanya dengan ultra kiasu. MCA tidak akan teragak-agak untuk menyeberang jika kepentingan Cina mereka tercabar. Jika tidak percaya, cuba bangkitkan isu SJKC dan Sekolah Persendirian Cina serta institusi pendidikan tinggi Cina. Benarkah MCA setia dengan BN selama lebih 60 tahun?

Kepada bekas Ketua Pemuda UMNO tersebut, saya cadangkan dalam PRU 15 nanti, cubalah bertanding di kawasan majoriti Cina pula. Janganla bertanding di kawasan selamat. Jika MCA boleh menang di kawasan majoriti Melayu, kenapa UMNO tidak boleh menang di kawasan majoriti Cina. Bukankah MCA ada lebih sejuta ahli? Betul ke ada sejuta?

Kepada bapa ultra kiasu, kamu dakwa kamu parti berbilang kaum, tetapi realitinya, kamu tetap memperjuangkan Cina. Sepatutnya aku berbangga dengan perjuangan kamu, kerana aku juga Cina. Tetapi aku diajar untuk menghormati sejarah dan Perlembagaan negara ini.

Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah
Pusat Pengajian Teras
Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Melayu dan Islam sederhana, mahupun pendirian rasmi Portal Islam dan Melayu (Ismaweb.net).

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close