Berita UtamaGambar PilihanIstimewaUtama

Strategi politik parti Melayu hanya untungkan bangsa lain

Orang Melayu perlukan reformasi politik jika mahu ubah nasib

BANGI, 13 Rabiulawal 1441H, Ahad – Gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) kesal dengan strategi diambil oleh parti politik Melayu yang hanya menguntungkan kaum lain.

Amir Isma, Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman membangkitkan perkara itu setelah melihat Barisan Nasional (BN) meletakkan calon bukan Melayu, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

Beliau menyifatkan strategi politik berkenaan tidak lebih sekadar ‘biar papa asal bergaya’.

“Orang Melayu untung strategi, orang Cina dapat kerusi. Sekadar itulah klimak kepandaian politik Melayu yang ditonjolkan BN dalam PRK Tanjung Piai.

“Kegagalan kelihatan seakan-akan bijak apabila dihias dengan perkataan strategi, tetapi strategi Melayu BN hanya sekadar untuk membina persepsi baik sahaja,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah, bahawa BN mempunyai strategi tersendiri dalam menghadapi PRK Parlimen Tanjung Piai.

Shamsul Anuar menegaskan, kenyataan yang dibuat calon parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Datuk Ir Dr Badhrulhisham Abdul Aziz bahawa BN berjanji untuk meletakkan calon Melayu adalah tidak betul.

Beliau berkata, Dr Badrulhisham tidak perlu mempersoalkan apa yang BN lakukan, sebaliknya lebih baik beliau menumpukan usaha menonjolkan Parti Berjasa kepada pengundi daripada menimbulkan cerita tidak benar mengenai UMNO dan BN.

Menempelak perkara itu, Abdullah Zaik yang juga dikenali sebagai Ustaz Lah menyifatkan politik Melayu sehingga hari ini umpama menang sorak kampung tergadai.

“Politikus Melayu cukup sekadar mahu bina persepsi kononnya terbuka kepada bangsa lain, lalu mereka sanggup korbankan hak bangsa sendiri,” katanya sinis.

Membandingkan politik Melayu dan Cina, Ustaz Lah berkata, kaum Cina tidak mempedulikan persepsi masyarakat lain asalkan mereka memperoleh apa sahaja yang dikehendakinya.

Beliau berkata, perkara sama akan dilakukan oleh kaum Cina tidak kira sama ada mereka berada dalam parti kerajaan mahu pun pembangkang.

“Dalam kes PRK Tanjung Piai, tidak mustahil orang Cina undi calon MCA, sebab mereka tahu undi calon Melayu Bersatu tidak menguntungkan mereka.

“Orang Melayu memang benar-benar memerlukan reformasi politik jika mahu ubah nasib masa depan mereka,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close