Berita UtamaPendapatPRK Tg. PiaiUtama

PRK Tg Piai titik tolak kesatuan Melayu Islam?

Kemenangan calon MCA tambah dominasi bukan Islam di Parlimen

SAYA mengikuti rapat perkembangan PRK Tanjung Piai yang menyaksikan penyertaan Parti BERJASA di atas dasar prinsip mereka ingin mendaulatkan agenda Melayu dan Islam. Ramai yang telah mengkritik menganggap Berjasa tidak akan mampu menang malah dilabel sebagai pemecah undi, sehingga menimbulkan kontroversi di peringkat nasional.

Namun tidak kurang juga akar umbi Tanjung Piai yang menyokong dengan memberikan tenaga dan harta, menawarkan rumah untuk ceramah kelompok, bahkan media Berjasa melaporkan ribuan mendaftar ahli baru sejak hari penamaan calon Sabtu lepas.

Walaupun masih ramai yang belum mengenali Berjasa, tetapi saya lihat ramai yang menghormati dan mengagumi prinsip yang mereka pegang, termasuklah diri saya sendiri.

2. Dari segi statistik, Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) melaporkan seramai 52,986 orang akan mengundi di Parlimen Tanjung Piai di mana demografi pengundi Melayu dan bukan Melayu dengan jumlah sekitar 57 peratus (Melayu majoriti) dan 42 peratus (Cina) amat menarik untuk diperhatikan. 43 peratus pengundi adalah warga senior berumur 50 tahun ke atas.

Sejarahnya, majoriti penduduk adalah berketurunan Jawa berasal dari Indonesia, meneroka tanah, menangkap ikan dan bercucuk tanam di tepi laut sebagai pekebun kecil getah, kepala sawit, durian, buah-buahan dan lain-lain. Warga Tanjung Piai dikenali sebagai mereka yang peramah dan mudah didekati.

Ketika saya berpeluang mendengar sendiri luahan hati mereka, ramai yang keliru sungguh untuk mengundi siapa kali ini, sudah lama mereka nantikan wakil rakyat sebenar yang akan membawa suara Melayu Islam ke Parlimen.

3. Dari segi ketokohan dan kelayakan akademik calon Berjasa, tidak ada pihak yang mampu menyangkal bahawa Datuk Dr Ts Ir Badrulhisham Abdul Aziz adalah calon yang paling menonjol, berkredibiliti dan berwibawa. Beliau mempunyai ijazah dari Amerika Syarikat, master dari United Kingdom dan PhD dari universiti terkemuka Jepun.

Beliau juga adalah mantan Timbalan Naib Canselor (TNC) Universiti Malaysia Pahang (UMP), seorang yang bijak mengurus dan mentadbir. Badrulhisham seorang yang komited dengan Islam dan mempunyai sebuah keluarga yang berjaya. Ayahnya juga seorang bekas kepimpinan UMNO yang disegani. Maka, selayaknya calon terbaik ini diangkat bersuara di Parlimen yang mulia, beruntung sangatlah orang Tanjung Piai!

4. Dari segi kewibawaan parti, Berjasa konsisten memperjuangkan dominasi orang Melayu dan Islam sejak penyertaan mereka dalam PRU14 lagi (calon Berjasa bertanding atas tiket PAS). Ini penting kerana Islam, Melayu dan Raja merupakan tiga teras termaktub dalam Perlembagaan demi menjamin kestabilan politik dan kesejahteraan negara.

Melayu menjadi tonggak, apabila bangsa majoriti sejahtera, maka bangsa minoriti pun akan turut sejahtera. Inilah yang cuba dirosakkan oleh musuh Islam, mereka mahu Melayu berpecah agar mudah mereka memerintah. Jadi kemunculan Berjasa kali ini tepat pada masanya, janganlah dipandang ringan sentimen kebangkitan orang Melayu yang sedang berlaku.

Saya yakin undi orang-orang Cina akan berpecah kepada tiga dan jika sebahagian besar pengundi Melayu memilih Berjasa, saya rasa tidak mustahil keajaiban boleh berlaku.

5. PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 21 September lepas, berikutan komplikasi jantung. Seharusnya, kawasan majoriti orang Islam ini terus diwakili oleh muslim.

Pembangkang UMNO tidak lagi dominan seperti dahulu untuk menundukkan MCA, apatah lagi MCA konsisten menolak perlaksanaan syariat, tulisan jawi, sekolah vernakular malah menyokong UEC selari dengan rakannya DAP. Kemenangan calon MCA hanya akan menambahkan dominasi bukan Islam di Parlimen daripada 55 peratus kepada 60 peratus, menjadi ancaman kepada kedudukan Islam.

Bersatu pula hanyalah proksi dan penyambung suara kepada kerakusan DAP yang hakikatnya dominan dalam kerajaan PH hari ini. Justeru, hanya Berjasa yang masih teguh dalam Gagasan Sejahtera akan menyatukan undi Melayu Islam dan memberi manfaat kepada semua.

6. Kemenangan Berjasa adalah kemenangan UMNO, PAS dan semua parti-parti Melayu yang cintakan negara ini. Kemenangan Berjasa bakal membawa mesej yang kuat kepada parti-parti Melayu supaya mengutamakan kepentingan Melayu mengatasi kepentingan rakan politik. Mungkinkah PRK Tanjung Piai adalah titik tolak kesatuan Melayu Islam? Wallahualam.

Ustaz Ir Hj Mohd Khoushaini Hj Mohd Naim
Ketua Perhubungan Negeri (KPN) Isma Melaka
Timbalan Pengerusi UMMAH Melaka

Penafian: Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close