Berita UtamaGambar PilihanIstimewaUtama

Fitnah berunsur jahat dakwa Berjasa ditaja PAN, DAP

Bebas daripada mana-mana campur tangan politik

BANGI, 13 Rabiulawal 1441H, Ahad – Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) menafikan sekeras-kerasnya tuduhan bahawa parti berkenaan ditaja oleh parti rasis, PAN dan DAP seperti yang tular di aplikasi Whatsapp dan Telegram.

Ketua Penerangannya, Hazwan Mohamad menyifatkan, fitnah berkenaan merupakan perbuatan keji sepanjang tempoh berkempen di Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

“PRK kali ini sepatutnya menjadi medan penyatuan dan kesatuan orang Melayu untuk mengundi calon muslim berwibawa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, Hazwan menegaskan, Berjasa adalah parti yang bebas daripada mana-mana campur tangan parti lain.

Katanya, Berjasa memperjuangkan hak-hak Melayu dan Islam secara konsisten serta berprinsip sejak tahun 1977 lagi.

“Kehadiran Berjasa dalam PRK Tanjung Piai adalah untuk memberi pilihan kepada pengundi Melayu Islam, yang membentuk 57 peratus penduduk di kawasan Parlimen itu bagi mengundi calon Melayu muslim profesional ke Parlimen.

“Oleh itu, kami menyeru bahawa sudah tiba masanya untuk semua parti politik yang bertanding di Tanjung Piai berkempen secara sihat dan membuang politik fitnah,” katanya.

Dalam PRK Parlimen Tanjung Piai, Berjasa mengetengahkan calon yang juga Presiden parti berkenaan Datuk Ir Dr Badrulhisham Abd Aziz.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 16 November sebagai hari mengundi bagi PRK Parlimen itu.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close