Berita UtamaUtama

Syor tubuh syarikat khas urus tanah pemilik Kampung Baru

Pemegang saham adalah pemilik tanah, untung kongsi bersama

Oleh Nurul Atikah Mohd Rosli

BANGI, 12 Rabiulawal 1441H, Sabtu – Warisan Kampung Baru dapat dipelihara sekiranya ditubuhkan syarikat khas pembangunan hartanah, yang mana pemegang sahamnya adalah pemilik tanah itu sendiri, kata Penganalisis Ekonomi, Prof Emer Dr Barjoyai Bardai.

Beliau berkata, syarikat berkenaan antara inisiatif yang dapat menguntungkan penduduk mengikut peratusan pemilikan yang mereka miliki.

“Jika syarikat itu ditubuhkan, pemilik tanah Kampung Baru akan menyerahkan semua pemilikan dan syarikat akan memberikan saham.

“Sekiranya syarikat dimiliki oleh 100 peratus pemilik tanah Kampung Baru, semua tanah boleh dinilai pada harga, tidak kira RM850 atau RM1,000 satu kaki persegi. Terpulang pada budi bicara.

“Kemudian syarikat akan membuat pinjaman dan memajukan tanah dan jika menguntungkan, penduduk juga akan mendapat untung bersama mengikut peratusan pemilikan yang mereka ada,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir memberitahu, tanah Kampung Baru akan dijual kepada agensi kerajaan untuk dibangunkan.

Beliau berkata, agensi kerajaan itu akan membantu para pemilik tanah berkenaan membangunkan Kampung Baru tanpa mengabaikan ciri-ciri asal lokasi berkenaan.

Pada masa sama, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad Khalid mengumumkan kerajaan akan menawarkan RM850 bagi setiap kaki persegi dalam pengambilan tanah untuk pembangunan semula Kampung Baru.

Bagaimanapun, sebahagian penduduk berpendapat tawaran harga itu tidak setimpal dan ada yang meminta kerajaan mengkajinya semula.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close