Berita UtamaDuniaUtama

Layanan kejam penjara Mesir punca kematian Morsi: PBB

Terima bukti pelbagai sumber ribuan tahanan derita, berisiko maut

GENEVA, 12 Rabiulawal 1441H, Sabtu – Pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tidak menolak kemungkinan keadaan penjara di Mesir menjadi punca kematian bekas Presiden yang digulingkan, Mohamed Morsi, malah antara penyebab kesihatan ribuan tahanan semakin buruk.

Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB dalam satu kenyataan berkata, Dr Morsi ditahan dalam keadaan yang digambarkan sebagai kejam, terutama ketika penahanannya selama lima tahun di Kompleks Penjara Tora.

“Kita menerima bukti yang boleh dipercayai daripada pelbagai sumber bahawa ribuan lagi tahanan di seluruh Mesir mungkin menderita pelanggaran serius terhadap hak asasi mereka, yang kebanyakannya berisiko tinggi maut,” kata kenyataan itu.

Agensi PBB itu mendesak Mesir supaya segera menangani keadaan penjara dan mengubah sebarang amalan yang melanggar hak tahanan supaya tidak dikenakan penyeksaan atau tindakan teruk, sebaliknya melalui proses perbicaraan yang adil.

Menggambar penyeksaan yang dihadapi Dr Morsi, pakar PBB berkata, bekas pemimpin Mesir itu ditahan dalam penjara bersendirian selama 23 jam tanpa dibenarkan melihat tahanan lain, walaupun satu jam sehari ketika aktiviti luar.

“Beliau dipaksa tidur di lantai konkrit dengan hanya satu atau dua selimut, dan tidak dibenarkan mengakses buku, jurnal, bahan penulisan atau radio.

“Dr Morsi juga dinafikan hak rawatan kesihatan untuk penyakit diabetis dan darah tinggi. Beliau beransur-ansur kehilangan penglihatan di mata kiri dan kerap pengsan. Daripada situ juga beliau mengalami kerosakan gigi utama dan menyebabkan jangkitan pada gusi,” katanya.

Pakar berkata, pihak tidak menolak kemungkinan bahawa tahanan lain turut mengalami nasib yang sama berikutan tindakan yang dilakukan pihak berkuasa Mesir.

“Ribuan tahanan lain di Mesir juga mungkin menghadapi risiko kematian atau kerosakan yang tidak dapat dipulihkan kerana keadaan penahanan dan pelanggaran yang melampaui proses sepatutnya, termasuk menahan individu tanpa tuduhan munasabah atau melalui proses perbicaraan yang adil,” katanya.

Kenyataan itu dibuat susulan aktivis di seluruh dunia melancarkan mogok lapar selama 48 jam minggu ini untuk meningkatkan kesedaran mengenai nasib tahanan politik di penjara Mesir.- Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close