Berita UtamaIstimewaUtama

Kerajaan tak tegas punca gagal mansuh sekolah vernakular

Tetapkan tempoh 6 tahun untuk ubah sistem pendidikan satu aliran

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 12 Rabiulawal 1441H, Sabtu – Sikap tidak tegas kerajaan sejak dahulu lagi menjadi punca utama kepada kegagalan menutup dan memansuhkan sekolah vernakular, termasuk mewujudkan sistem pendidikan satu aliran di bawah sekolah kebangsaan.

Tokoh bahasa, Prof Datuk Dr Awang Sariyan berkata, langkah memansuhkan sekolah vernakular bukanlah perlu dibuat secara drastik, sebaliknya kerajaan patut memulakannya secara berperingkat.

Beliau berkata, jika kerajaan masih bersikap tidak tegas dalam usaha mewujudkan sistem pendidikan satu aliran, desakan untuk mengekalkan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil akan terus berlaku.

“Dalam peruntukan Akta Pelajaran 1991 Seksyen 21 (1B) ada menyatakan kuasa Menteri Pendidikan menutup atau memansuhkan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil.

“Malangnya, peruntukan itu telah dihapuskan dalam pindaan Akta 1996, yang langsung tidak membuka ruang untuk Menteri Pendidikan menimbangkan semula kewujudan sistem pendidikan satu aliran,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Merujuk zaman Tun Datuk Patinggi Haji Abdul Rahman Ya’kub sebagai menteri pelajaran, Dr Awang berkata, walaupun hanya setahun memegang portfolio itu, beliau berani mengubah bahasa pengantar untuk semua sekolah dari bahasa Inggeris ke bahasa Melayu.

“Masalah sekolah vernakular ini adalah kerana ketidaktegasan kepimpinan negara. Sepatutnya, pada zaman Tun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri keempat lagi, sewaktu beliau mencadangkan Sekolah Wawasan, sekurang-kurangnya itu adalah permulaan yang positif.

“Kita bukanlah mahu ambil langkah drastik, walaupun semangat kita mahukan hari ini juga sekolah vernakular ditamatkan. Tetapi, kita akui realitinya ia memerlukan waktu,” katanya.

Beliau yang juga bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka berkata, resolusi pendidikan yang beliau kemukakan pada Kongres Maruah Melayu baru-baru ini, mencadangkan supaya langkah memansuhkan sekolah vernakular dibuat secara berperingkat.

“Bermula dengan kita tambah bahasa Melayu sebagai pengantar, dan tetapkan perubahan itu untuk tempoh enam tahun supaya ia tidak drastik. Kita tidak emosi nak ia ditutup hari ini, jadi kita pertimbang keperluan pengubahsuaian dan perancangan. Tetapi, kerajaan mesti meletakkan tempoh enam tahun daripada sekarang.

“Dan kita juga mencadangkan supaya kerajaan membuka ruang yang menjadi daya tarik kepada ibu bapa bukan Melayu untuk hantar anak mereka ke sekolah kebangsaan. Masukkan bahasa Mandarin dan Tamil di sekolah kebangsaan.

“Kita tiada masalah menerima bahasa asing, asalkan bukan mendominasi bahasa kebangsaan. Di sekolah vernakular, yang bukan bahasa kebangsaan itu dominan, jadi sampai bila pun kita tak boleh capai perpaduan,” katanya.

Sebelum ini, Timbalan Ketua Menteri II, P Ramasamy tetap bertegas mahu meneruskan sekolah vernakular di negeri itu kerana katanya, terdapat banyak faedah daripada sekolah aliran tersebut.

Malah, pada pandangan Ramasamy, sekolah vernakular dapat menerapkan nilai toleransi dalam kalangan pelajar selain meningkatkan perpaduan.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close