Berita UtamaUtama

Cubaan seludup arak tumpas

Polis rampas minuman keras bernilai lebih RM2 juta

JOHOR BAHRU, 12 Rabiulawal 1441H, Sabtu – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua mematahkan cubaan menyeludup minuman keras bernilai lebih RM2 juta di Taman Perindustrian, Kota Putri, Masai, pada Khamis.

Pemangku Komander PPM Wilayah Dua, Supt Noor Azman Jamal berkata, minuman keras itu dirampas dari sebuah lori yang dipandu seorang lelaki warga tempatan berusia 42 tahun oleh sepasukan pegawai dan anggotanya pada 12.25 tengah hari.

“Hasil pemeriksaan yang dibuat, pasukan serbuan juga telah menemui 256 kotak yang mengandungi minuman keras dipercayai tidak lulus kastam (tidak bercukai).

“Rampasan minuman keras dan kenderaan ini melibatkan anggaran nilai sebanyak RM2.26 juta,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Noor Azman berkata suspek lelaki berkenaan ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam untuk tindakan selanjutnya dan kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967.

Beliau turut meminta orang ramai agar memberi kerjasama dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan barang larangan seperti rokok, minuman keras, mercun dan dadah menerusi talian 07-2372221 atau pun 07-2372222.- Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close