Artikel Khas

Generasi Melayu pasca PRU15 (Bahagian 2)

Tiada alasan lagi remehkan kemampuan akal rakyat buat pilihan di peti undi

SAYA baru terperasan mengenai satu tulisan di Facebook yang dimuatnaik pada 5 Ogos 2021. Dengan bahang pilihan raya semakin ‘panas’ di enam buah negeri dan menjelang hari pengundian pada 12 Ogos ini, saya rasa perlu untuk menulis bahagian kedua sebagai penutup.

Bahagian 1:

https://www.facebook.com/mohd.luttfi/posts/pfbid0wqcbB29cEGDJhkLcrpm33hJi4xWW1bFLMomQie37XWzNoAfcBR5LrAhqXs6RjBP2l

Berikut adalah beberapa pandangan dan pemerhatian saya setelah dua tahun berlalu:

Pertama: Hilangnya kepercayaan (trust deficit)

Rakyat Malaysia sudah melalui beberapa siri pilihan raya dan juga perubahan kerajaan yang memerintah. Mereka telah menyaksikan bagaimana negara ini ditadbir oleh gabungan parti-parti politik silih berganti, masing-masing mendakwa telah membawa kebajikan kepada rakyat dan kemajuan negara. 

Bagaimanapun, matlamat agenda bangsa yang dicita-citakan nampaknya belum tercapai, malah semakin hari kelihatan semakin jauh. Ini kerana setiap kerajaan yang memerintah akan membawa manifesto dan janji-janji yang tidak pernah berkesinambungan antara satu sama lain. 

Parti atau gabungan parti-parti mana yang memerintah, sudah pasti akan membawa negara dan rakyat menuju agenda kerajaan pada ketika itu.

Seringkali polisi dan dasar kerajaan akan berubah dengan perubahan pihak pemerintah. Setiap kali selepas keputusan pilihanraya keluar dan berlaku pertukaran kerajaan (sekiranya parti politik yang memerintah kalah), maka kita akan saksikan perubahan polisi, dasar dan juga portfolio. 

Kesan dan akibatnya akan ditanggung oleh rakyat sendiri. Segala janji, aku janji, retorik, manifesto akan bertahan ataupun tamat tempohnya sekiranya kerajaan tersebut bertukar. 

Apa yang dapat diperhatikan ialah sepanjang negara diperintah oleh berbagai-bagai ‘ragam’ parti politik, masalah-masalah yang besar seperti salah guna kuasa, gejala rasuah, keruntuhan akhlak, kepincangan sosial, ketidakstabilan ekonomi, tatakelola, ketelusan, keadilan, urustadbir dan seumpamanya tidak pernah ditangani dengan berkesan. 

Jalan penyelesaian yang holistik, menyeluruh dan komprehensif hanya kelihatan cantik di atas kertas sahaja dan tidak pernah berjaya dilaksanakan sehingga ke garis penamat. Rakyat hanya disuguhkan dengan janji-janji manis yang diungkapkan dengan nada serius oleh para pemimpin dan ‘wakil-wakil’ rakyat yang dilantik.

Di sinilah berlakunya hilang kepercayaan (trust deficit) rakyat kepada pihak pemerintah dan parti-parti politik. Di mata rakyat, parti-parti politik ini sudah menjadi spesis oportunis yang hanya mahir memperalatkan ketulusan rakyat untuk mencapai kepentingan diri sendiri dan menikmati ganjaran-ganjaran dan ‘harta rampasan perang’ dari puncak singgahsana kekuasaaan. Kepercayaan adalah satu aset yang semakin hilang dari ahli-ahli politik hari ini.

Kedua: Ahli-ahli politik dan kerakusan terhadap kuasa

Salah satu cara untuk mengenali wajah sebenar ahli-ahli politik ialah ketika berlakunya pilihan raya. Sifat-sifat semulajadi manusia dapat disaksikan semasa mereka berkempen – keikhlasan, kejujuran, sifat hipokrit, kerakusan, khianat, tipu helah dan pembohongan, fitnah dan adu domba, dendam dan kepuraa-puraan – semuanya dapat disaksikan. 

Ini kerana setiap calon perlu menghadap dan berdepan dengan para pengundi secara bersemuka untuk memaklumkan tentang agenda, harapan, permintaan dan rayuan kepada para pengundi supaya percaya dan memilih mereka menjadi wakil rakyat sekali lagi.

Saya berpandangan bahawa rakyat kini sudah matang untuk menilai tentang keperibadian dan wajah sebenar ahli-ahli politik hari ini. Mereka sudah dapat membezakan antara wajah-wajah yang ikhlas dan muka-muka yang tidak malu. 

Kalau dahulu rakyat dan para pengndi hanya bergantung kepada media massa dalam bentuk siaran televisyen dan surat khabar, hari ini keadaan sudah berubah. 

Media sosial seperti TikTok, Twitter, Facebook, Telegram, WhatsApp dan sebagainya sudah menggantikan maklumat dan info rasmi yang terdapat pada siaran televisyen dan surat khabar.

Pihak kerajaan tidak lagi boleh ‘menguasai’ atau ‘meracuni’ (brainwash) pemikiran rakyat dan pengundi seperti mana yang telah berlaku sejak puluhan tahun sebelumnya. Sebarang berita baik yang palsu atau tepat boleh diperiksa dan dipastikan (ataupun dibantah) dalam sekelip mata hanya dengan menggerakkan hujung-hujung jari sahaja. 

Fenomena seperti ini tidak begitu ketara dalam pilihan raya sebelum ini tetapi sangat menjolok mata dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) untuk enam buah negeri yang bakal ditentukan pada 12 Ogos ini. Contoh yang paling dahsyat ialah pilihan raya negeri Kedah yang dikuasai oleh parti PAS. 

Masyarakat dan rakyat dapat menyaksikan keghairahan para pemimpin kerajaan turun padang secara berjamaah ke negeri jelapang padi ini, seolah-olah hanya negeri ini sahaja yang sedang menghadapi pilihan raya dan hanya seorang calon sahaja yang bertanding, iaitu Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, sebagai pemimpin sementara (caretaker) kerajaan negeri Kedah.

Di sinilah wajah-wajah sebenar para pemimpin yang rakus terhadap kuasa mula menyerlah. Keghairahan untuk menjatuhkan lawan politik tidak mengenal dosa pahala, adab dan susila, akhlak dan maruah.

Imej bersih yang dahulunya terpampang di depan mata rakyat sudah terkoyak dengan paparan-paparan yang mengejutkan tentang betapa jijknya cara dan strategi berkempen yang digunakan. Salah guna kuasa dan kedudukan tidak lagi menjadi satu yang mengaibkan dan tidak berakhlak.

Sebab itulah, selain hilangnya kewibawaan pemimpin politik, masyarakat disedarkan dengan satu gambaran bagaimana politik dan pilihan raya yang seharusnya berjalan dengan adil, bersih, telus, jujur dan beradab mudah dicemari dengan kempen yang kotor, mengaibkan lawan, bersepah dengan fitnah dan pembohongan. 

Bahan-bahan kempen tidak lagi mengenai wawasan dan agenda negara serta pembelaan terhadap nasib dan masa depan rakyat biasa, tetapi lebih kepada memburukkan lawan dan calon, menyalahgunakan agensi dan aparatus kerajaan serta mempersetankan akhlak dan kesantunan budi bahasa.

Realiti seperti ini tidak akan berubah dalam masa terdekat kerana yang mengawal peribadi seseorang itu (termasuk pemimpin dan ahli politik) bukan lagi ikatan agama dan persaudaraan, tetapi kerakusan dan tamak haloba kepada kuasa serta ketakutan terhadap kemungkinan ia akan terlepas dari genggaman. 

Justeru, untuk terus kekal berkuasa, akhlak dan moral (apatah lagi ajaran agama) boleh dikorbankan dan dikesampingkan begitu sahaja.

Ketiga: Kuasa sebenar di tangan rakyat

Generasi pengundi hari ini adalah rakyat yang bermaklumat (informed voters). Ini merupakan satu perkembangan yang sihat dan bermakna untuk kesedaran politik jangka panjang. 

Jentera penerangan untuk membina kesedaran seperti ini tidak lagi datang dari satu punca atau saluran tetapi dapat diakses melalui pelbagai sumber dan kaedah. Rakyat sama ada boleh dipengaruhi, digula-gulakan atau diyakinkan dengan apa sahaja bentuk kempen dan propaganda, baik daripada pihak kerajaan/emerintah mahupun dari pihak pembangkang.

Rakyat juga terdedah dengan corak dan warna pemerintahan dari hampir semua parti politik yang ada. Negara pernah melalui pemerintahan di bawah Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN ) yakni gabungan UMNO, MIC, MCA dan Gerakan, Pakatan Rakyat (PR) yakni gabungan PKR, DAP dan PAS, Pakatan Harapan (PH) yakni gabungan PKR, DAP dan PAN, kerajaan BERSATU-PAS-MCA dan terakhir PH-BN yakni gabungan PKR, UMNO, DAP dan PAN. 

Dalam erti kata lain, setiap parti politik dalam negara sudah diberi peluang dan berkesempatan untuk menjadi pemerintah dan kerajaan, meskipun tempoh mereka berbeza-beza. Semua juga pernah berperanan sebagai pembangkang. 

Oleh itu, tidak ada mana-mana parti politik pun yang boleh merayu supaya ‘diberi peluang sekali lagi’ untuk menjadi kerajaan atau pemerintah. ‘Kenikmatan’ kuasa itu sudah dirasai oleh semua.

Rakyat juga telah melalui pengalaman diperintah oleh beraneka jenis parti politik silih berganti, begitu juga merasai pemerintahan beberapa Perdana Menteri sejak 60 puluh tahun selepas merdeka.

Maka, tiada alasan lagi untuk memperbodohkan atau meremehkan kemampuan akal rakyat membuat pilihan mereka di peti-peti undi. Atau menganggap bahawa rakyat masih tidak matang dan justeru perlu dipujuk, ‘dirasuah’ ataupun ‘diancam’ dengan terputus atau terhentinya bantuan sekiranya membuat pilihan yang tidak disenangi oleh pihak pemerintah.

Pilihan raya sepatutnya menjadi medan terbaik untuk rakyat memilih pemimpin dan wakil-wakil yang akan dihantar ke Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN), tanpa merasa takut atau mengampu sesiapa pun. 

Kuasa ditangan rakyat seharusnya benar-benar berada di tangan rakyat, dan ini termasuk memastikan setiap wakil rakyat yang dilantik perlu menjadi khadam kepada masyarakat, bukannya menjadikan rakyat dan pengundi sebagai batu loncatan untuk mengaut kekayaan untuk diri sendiri dan ahli keluarga serta mengkhianati pilihan dan mandat para pengndi.

Keempat: Potensi kejayaan parti politik

Apabila kita memerhatikan faktor-faktor yang membawa kepada keberhasilan sesuatu ideologi atau pergerakan, yang akan segera menonjol ialah kekuatan dasar perjuangan yang dibawa, kewibawaan tokoh yang memimpinnya dan sokongan berterusan oleh para pendokong pergerakan tersebut. 

Sesebuah parti politik juga tidak terlepas dari sifir yang sama. Yang membezakan parti-parti politik Islam dari yang bukan Islam ialah dasar perjuangannya. Ini kerana dasar ini akan membentuk perilaku, akhlak, keperibadian, jatidiri, keterampilan dan tindakannya. 

Dasar ini tidak akan berjaya kalau tidak dierjuangkan oleh kepimpinan yang berwibawa, yang meyakini akan kebenaran cita-cita dan matlamat yang ingin dicapai. Kepimpinan ini pula tidak akan berjaya melakukan transformasi pada persekitarannya sekiranya tidak disokong oleh ahli-ahli, para pendokong dan rakyat keseluruhannya. 

Unsur-unsur in juga tidak akan berjaya sekiranya para pemimpin, ahli, pendokong dan rakyat jelata tidak memiliki keazaman, tekad, keberanian, komitmen dan daya juang berterusan untuk bergerak ke hadapan, menghadapi apa sahaja cabaran dan sanggup berkorban apa sahaja, hatta diri sendiri, ke arah pencapaian matlamat dan objektif perjuangan.

Lihatlah Nelson Mandela, pemimpin gerakan pembebasan rakyat Afrika. Lihatlah kepada Buya Hamka, tokoh perjuangan rakyat Indonesia yang lebih hampir dengan negara kita. Dan terdapat ramai lagi tokoh-tokoh terbilang yang boleh kita persembahkan sebagai contoh ikutan.

Demikian juga dapat dilihat pada parti-parti politik Malaysia hari ini. Apabila kita meneliti setiap satu daripada parti-parti politk yang ada – Perlembagaan, dasar, falsafah, neraca dan sistem nilai yang digunakan serta prinsip perjuangannya, kemudian mengkaji pemikiran, akhlak, gaya hidup dan perwatakan para pemimpinnya, dan kita teliti pula disiplin, ketaatan dan kepatuhan ahli dan para pengikut serta bagaimana semua ini memberi kesan kepada masyarakat dan rakyat seluruhnya, kita akan dapat membuat satu kesimpulan awal sama ada kumpulan ini akan berjaya atau sebaliknya.

Maka piihan raya bukan sekadar tempoh untuk berjumpa para pengundi atau menjanjikan itu ini atau memerintah untuk satu atau dua penggal lagi. Akan tetapi pada hakikatnya merupakan satu penanda aras dan titik persimpangan yang akan menentukan halatuju dan masa depan negara. 

Kita berhadapan dengan satu senario yang diwakili oleh dua kumpulan atau kelompok parti-parti politik yang bertentangan, satu membawa falsafah perjuangan Islam manakala satu lagi membawa falsafah liberal sekular.

Ia bukan sekadar mencelup jari di dalam bekas dakwat hitam.

Kelima: Perlunya parti-parti politik diaudit dan dimuhasabah

Salah satu penyakit terbesar yang menimpa parti-parti politik ialah merasakan dirinya seakan-akan maksum, tidak pernah melakukan kesalahan dan kebal dari nasihat, teguran, kritikan dan proses audit. Sikap dan perasan seperti ini sekiranya tidak dibendung atau diperingatkan akan membawa kepada keangkuhan, kesombongan dan bangga diri di pihak kepimpinan dan juga ketaksuban melampau di pihak ahli dan pendukung.

Berimejkan Islam atau Melayu atau moderat atau nasionalis atau patriotik dan seumpamanya bukan satu perlepasan dari radar muhasabah. Kepimpinan yang hebat, berwibawa, berpengalaman, pangkat lebih senior atau bergulung-gulung ijazah dari merata universiti bukan satu petanda bahawa kamu tidak boleh diberi peringatan atau selamat dan kebal daripada kritikan dan teguran.

Sekiranya seorang rakyat biasa boleh dan berani menegur pemimpin negara Islam iaitu khalifah Umar Al Khattab (Radhiyallahu ‘anhu) dengan pedangnya, apatah lagi kita umat yang terlalu jauh dari prinsip-prinsip Islam, yang tidak merasakan bahawa kuasa adalah satu beban amanah yang sangat berat dipikul.

Antara mekanisma untuk memastikan bahawa sesuatu parti politik berjalan di atas landasan yang betul, maka ia perlu berlapang dada dan berbesar hati menerima, malah mengalu-alukan sebarang teguran, kritikan, muhasabah dan peringatan. Sikap ini tidak akan mengaibkan atau merendahkan mertabat parti-parti politik tersebut, malah akan lebih tinggikan mertabatnya di sisi masyarakat.

Parti-parti politk yang menganggap diri mereka sebagai penyelamat umat dan harapan bangsa perlu sedar nahawa pilihanraya hanyalah satu juzuk kecil dari potret umum yang lebih besar yang melingkungi rakyat, umat dan bangsa. Ada isu-isu perundangan, pendidikan, ekonomi dan juga kejiwaan yang tidak kurang hebat cabarannya untuk ditangani. 

Dunia tidak berputar dalam satu orbit yang mengelilingi parti politik semata-mata.

Mohd Luttfi Abdul Khalid
Pengerusi iPeguam

Artikel ini telah disiarkan lebih awal di Facebook penulis Mohd Luttfi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button