Berita UtamaUtama

Amal ajaran Islam, jadikan Rasulullah contoh ikutan

Perpaduan terbentuk bila rakyat saling hormat-menghormati

PUTRAJAYA, 12 Rabiulawal 1441H, Sabtu – Hormat-menghormati, sifat kasih sayang serta keadilan berteraskan syariat Islam merupakan resepi kepada perpaduan dan keharmonian pemerintahan negara berbilang agama dan bangsa, titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Dalam ucapan bersempena sambutan Maulidur Rasul 1441H/2019 peringkat kebangsaan, Seri Paduka bertitah amalan pemerintahan baginda Rasulullah ﷺ yang menekankan sifat kasih sayang sesama manusia dan sejagat boleh dijadikan suri tauladan utama dalam membentuk perpaduan rakyat.

Memetik sebuah hadis sahih, Sultan Abdullah bertitah bahawa perpaduan akan terbentuk secara semula jadi menerusi rasa kasih sayang serta hormat-menghormati di antara rakyat tanpa mengira agama, bangsa dan keturunan.

“Orang yang berkasih sayang akan dikasihi oleh Yang Maha Penyayang. Oleh itu, kasihilah semua yang di bumi; maka kamu akan dikasihi oleh Mereka yang di langit.

“Baginda (ﷺ) juga tidak melupai dan sentiasa menyantuni golongan yang kurang berkemampuan dan lemah. Ini bagi membolehkan mereka agar dapat bangkit meningkatkan potensi diri dan seterusnya menyumbang kepada masyarakat,” titah Seri Paduka pada majlis sambutan itu di Axiata Arena, Bukit Jalil hari ini.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan diiringi Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Sultan Abdullah bertitah bahawa agama Islam menitikberatkan persaudaraan sejagat dan menuntut pelaksanaan keadilan bagi semua tanpa mengira agama dan bangsa kerana menerusi pendekatan itu, hak individu serta semua masyarakat sentiasa terpelihara.

“Inilah merupakan pengajaran Yang Maha Agung yang dibawa Rasulullah ﷺ untuk dijadikan tauladan oleh pemimpin dan generasi masa kini,” titah Seri Paduka.

Yang di-Pertuan Agong turut menzahirkan keyakinan bahawa kerajaan akan sentiasa mengambil pendekatan untuk menjaga hak rakyat berbilang agama dan bangsa di samping berterusan dalam membantu golongan yang lemah.

Pada masa sama, usaha berterusan hendaklah dilakukan dalam mengawal fahaman radikal dan sebarang bentuk tindakan yang boleh menggugat keharmonian negara, titah Seri Paduka.

Sebelum mengakhiri titah ucapan, Sultan Abdullah mengajak seluruh rakyat menghayati dan mengamalkan ajaran Islam dan menjadikan Rasulullah sebagai contoh ikutan dalam kehidupan kerana kehalusan akhlak baginda dapat memelihara sahsiah diri untuk menjadi bangsa yang disegani.

“Kebijaksanaannya boleh kita jadikan inspirasi untuk memajukan diri manakala amalan pentadbiran baginda pula boleh kita jadikan panduan ke arah pembentukan sebuah negara rahmah yang bersatu padu,” titah Seri Paduka. – Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close