Berita UtamaUtama

Sindiket cop palsu tumpas

Dalang warga Indonesia ditahan dalam serbuan di Klang

BANGI, 11 Rabiulawal 1441H, Jumaat – Jabatan Imigresen berjaya menumpaskan sindiket pemalsuan cop dalam operasi penguatkuasaan di Klang dan Puchong pada 1 November lalu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Indera Khairul Dzaimee Daud berkata, serbuan pertama dilakukan setelah pasukan pegawai Bahagian Perisikan, Operasi Khas dan Analisa Jabatan Imigresen Putrajaya membuat intipan selama enam jam di satu lokasi yang terletak di Klang, Selangor. 

Beliau berkata, seorang lelaki warganegara Indonesia berusia 35 tahun yang menjadi dalang sindiket ditahan dalam serbuan berkenaan.

“Semasa pemeriksaan, dua pasport ditemui di dalam poket seluar suspek. Pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan suspek telah menemukan satu pasport yang disembunyikan dalam kenderaan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Indera Khairul berkata, serbuan kedua pula dilakukan di sebuah rumah yang terletak di Puchong, Selangor.

Beliau berkata, rumah itu disewa suspek untuk dijadikan tempat membuat cop-cop palsu imigresen dan rumah transit sementara untuk mereka yang ingin pulang ke negara asal. 

“Ketika serbuan dilakukan, terdapat tujuh wanita berusia antara 29 hingga 39 tahun dan seorang kanak-kanak perempuan enam tahun. Kesemua mereka adalah warganegara Indonesia dan ditempatkan sementara di rumah tersebut oleh suspek yang sedang menguruskan penghantaran mereka ke negara asal. 

“Pemeriksaan dalam rumah tersebut telah berjaya menjumpai sebanyak 13 pasport Indonesia, sembilan Surat Perjalanan Laksana Pasport (SPLP) Indonesia yang disyaki palsu dan 38 cop keselamatan imigresen yang dipalsukan. Turut disita adalah sebuah kenderaan jenis Nissan Grand Livina milik suspek,” katanya.

Indera Khairul berkata, bayaran untuk mendapatkan cop palsu adalah sebanyak RM50 setiap satu cop. 

Bahkan, katanya, kegiatan suspek tidak tertumpu di kawasan Lembah Klang sahaja tetapi terdapat ejen-ejen kecil luar terutama dari Pulau Pinang dan Johor yang menghantar pasport warga asing kepada suspek untuk mendapatkan cop palsu serta urusan pulang ke negara asal. 

“Suspek ditahan kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 55D Akta Imigresen 1959/63 kerana memalsukan suatu pas atau endorsement dan Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 kerana memiliki pasport yang dikeluarkan untuk kegunaan orang lain tanpa kebenaran yang sah,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close