Berita UtamaUtama

Seorang lelaki ditahan

Seludup 40 tong LPG untuk pasaran Indonesia

TAWAU, 11 Rabiulawal 1441H, Jumaat – Seorang lelaki tempatan, ditahan disyaki cuba menyeludup 40 tong, yang sebahagiannya berisi gas petroleum cecair (LPG), ke Indonesia.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah, ACP Mohamad Pajeri Ali berkata, suspek berumur 34 tahun itu ditahan di sebuah tempat letak kereta berhampiran Pasar Ikan Tawau, kira-kira 6 pagi tadi dengan sebuah lori persendirian.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut menjumpai 40 tong, yang mana 25 berisi LPG manakala 15 lagi masih kosong, disembunyikan di ruang belakang kenderaannya.

“Lelaki berkenaan gagal menunjukkan permit atau surat kelulusan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) atas kesemua barang kawalan yang dibawanya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohamad Pajeri berkata, suspek mengaku tong gas berkenaan untuk diedarkan ke Pulau Sebatik melalui jalan laut dan dipercayai akan diseludup keluar ke Indonesia.

Nilai rampasan termasuk kenderaan berjumlah RM37,250 dan kes dirujuk ke KPDNHEP cawangan Tawau untuk disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961, katanya.- Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close