Berita UtamaPRK Tg. PiaiUtama

PRK Tg Piai: Berjasa teruskan kempen bersih dekati rakyat

Sudah masa undi calon berwibawa, bukan lihat logo bendera

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 11 Rabiulawal 1441H, Jumaat – Menjelang sembilan hari sebelum proses pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) masih mengekalkan rekod bersih daripada sebarang tuduhan salah laku, kata Ketua Penerangannya, Hazwan Mohamad.

Hazwan berkata, rekod bersih ini akan dikekalkan meskipun terdapat laporan menyatakan parti seperti Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Gerakan telah disabit dengan kesalahan pilihan raya.

“Berjasa yakin, kempen yang bersih dan sihat perlu dimulakan sekarang dan kita menyeru agar semua parti yang bertanding terutama yang mempunyai kelebihan wang ringgit juga turut sama dalam kempen yang lebih adil dan bersih,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Mengulas mengenai kempen sesetengah pihak yang berbaur hasutan, perkauman dan boleh menggugat keamanan, Hazwan berkata, kempen Berjasa adalah dengan mendekati masyarakat Tanjung Piai dari segenap lapisan masyarakat tidak kira apa fahaman politik, agama dan bangsa.

“Kami mendapat ribuan mesej dari masyarakat di Tanjung Piai termasuk dari penduduk berbangsa Cina yang menyatakan sokongan kepada calon Berjasa. 

“Ketika ziarah mahabbah sewaktu kempen, masyarakat Tanjung Piai amat selesa sekali untuk bercerita masalah mereka dan harapan mereka kepada calon dan petugas-petugas dari parti Berjasa,” katanya.

Pada masa sama, Hazwan menegaskan, bahawa kempen Berjasa melangkaui fahaman sempit kepartian.

“Kita mahu beri mesej bahawa sudah tiba masanya untuk kita mengundi calon muslim yang berwibawa, bukan sekadar hanya melihat logo bendera semata-mata,” katanya.

Berjasa mempertaruhkan Presidennya, Prof Datuk Dr Badrulhisham Abdul Aziz dalam saingan enam penjuru pada PRK kali ini yang juga PRK kesembilan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan susulan kematian wakil rakyatnya Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, daripada PH pada 21 September lepas akibat komplikasi jantung.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close