Berita UtamaPRK Tg. PiaiUtama

PRK Tg Piai: Berjasa bukan ancaman kepada kaum lain

Orang Cina, India akan dapat manfaat jika Melayu mendominasi politik

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 11 Rabiulawal 1441H, Jumaat – Walaupun mendukung perjuangan Islam dan Melayu, Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) tidak pernah mengetepikan hak dan kepentingan kaum lain di negara ini.

Timbalan Presiden Berjasa, Ustaz Hamidi Abu Hassan menjelaskan, keamanan negara bergantung kepada kestabilan politik berdasarkan kedudukan orang Melayu sebagai majoriti penduduk di negara ini.

Beliau berkata, jika penduduk majoriti berasa terancam dan terabai, ia secara tidak langsung menyebabkan keadaan negara menjadi kucar-kacir dan tidak aman, sekali gus memberi masalah kepada kaum lain.

“Keadaan tidak aman itu akan memberi masalah kepada orang Cina juga, yang mana kebanyakan mereka adalah peniaga yang pastinya mahukan kesejahteraan untuk perniagaan mereka.

“Orang Cina dan India tidak perlu bimbang dengan kesatuan muafakat Melayu, Islam. Ini kerana ia memberi manfaat kepada mereka juga,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Mengulas lanjut, Ustaz Hamidi berkata, sejak 60 tahun dahulu, ketika Barisan Nasional (BN) memerintah terbukti bahawa kedudukan kaum lain terjaga, sedangkan ketika itu kerajaan didominasi oleh orang Melayu.

“Tetapi, hari ini nampaknya ekonomi negara tidak berkembang dan ada banyak masalah. Ini menunjukkan bahawa apabila kedudukan negara tidak stabil, mereka juga akan menerima tempias dari sudut ekonomi.

“Berjasa sebenarnya bukanlah ancaman kepada kaum lain, kita mahu memberi keharmonian dan mereka akan lebih selesa apabila Melayu menjadi dominan dalam politik negara,” katanya.

Ditanya mengenai penerimaan pengundi Cina dan India di Tanjung Piai kepada parti itu, Ustaz Hamidi berkata, setakat ini Berjasa menerima layanan positif daripada semua kaum di kawasan itu.

“Kita mahukan juga pengundi Cina dan India menyokong kita, tetapi harapan besar kita adalah kepada pengundi majoriti di sini iaitu Melayu, Islam untuk mengundi kita nanti.

“Insya-Allah, Berjasa boleh tangani persoalan-persoalan daripada pengundi di sini, walaupun daripada kalangan orang Cina,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close