Berita UtamaUncategorizedUtama

Mapim kutuk tindakan kejam pegawai China paksa wanita muslim tidur bersama

Dasar Beijing cuba pecah-belah keluarga muslim

BANGI, 11 Rabiulawal 1441H, Jumaat – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mengutuk tindakan kejam dan tidak berperikemanusiaan pegawai kerajaan di China yang dilaporkan memaksa isteri-isteri etnik Islam Uyghur meniduri mereka ketika para suami sedang berada dalam kem tahanan.

Presiden Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid dalam satu kenyataan berkata, pihaknya mengutuk sekeras-kerasanya dasar tidak bermoral itu yang tidak mempedulikan kesucian keluarga dalam masyarakat Islam.

Terdahulu, Business Insider melaporkan, bahawa golongan isteri etnik Uyghur di wilayah Xinjiang diminta untuk ‘menjemput’ pemeriksa ke rumah mereka, di bawah program pengawasan wajib, ketika suami mereka ditahan di pusat pendidikan semula di negara itu.

Selain perlu memberikan maklumat mengenai aktiviti seharian dan pandangan politik mereka kepada pemeriksa lelaki yang menggelar diri mereka sebagai ‘saudara’ golongan itu, mereka juga digalakkan untuk ‘menyemai perasaan cinta’ antara satu sama lain.

Bukan itu sahaja, Beijing juga dilaporkan menggalakkan lelaki Han berkahwin dengan wanita Uyghur untuk mengajar mereka mengenai apa disebut kerajaan sebagai ‘ideologi yang betul’.

Terkejut dengan perkara itu, Mohd Azmi yang meluahkan rasa marah dengan dasar itu menyifatkan ia sebagai cara kerajaan China memecah-belah keluarga muslim. 

Tegas beliau, dasar Beijing itu adalah cubaan untuk mengurangkan pengikut agama dalam kalangan umat Islam di China.  

Beliau turut menyifatkan ia sebagai sebuah dasar yang keji untuk menjadikan orang ramai mengikut ideologi komunisme dengan pendekatan sedemikian.

“Nampaknya ada agenda untuk mengubah agama Cina muslim oleh lelaki Han yang menggalakkan untuk berpindah ke Xinjiang dan berkahwin dengan penduduk tempatan.

“Kita sangat menentang tindakan kejam untuk membolehkan wanita Islam Cina yang telah pun berkahwin tetapi kerap dipaksa untuk berkongsi tempat tidur yang sama dengan pegawai lelaki yang dihantar oleh kerajaan untuk memantau mereka apabila suami mereka didoktrin dalam kem tahanan,” katanya hari ini.

Pada masa sama, Mohd Azmi mendakwa, China juga memaksa umat Islam mengikut ideologi komunis.

“Semua orang Uyghur muslim yang ditahan di dalam kem mesti dibebaskan. Hentikan segera pengawasan dan dasar indoktrinasi rumah melalui pendekatan memaksa wanita muslim yang telah berkahwin tidur dengan pegawai kerajaan,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close