Berita UtamaPendapat

Kenapa liberal sokong pesalah gay?

Usah terkeliru konsep Rahmatan lil alamin hingga benar kemungkaran

1. ADA dikalangan pendukung liberal yang sanggup memberikan sokongan kepada golongan gay yang didapati bersalah kerana cuba melakukan persetubuhan diluar tabii. Malah apa yang lebih menyedihkan, ada dikalangan pesalah gay ini (yang cuba melakukan persetubahan diluar tabii) sudah pun berkahwin.

2. Di sini barulah kita faham mengapa Rasulullah benar-benar bertegas dalam menangani isu kemungkaran peribadi, ia bukan sahaja merosakkan individu bahkan meruntuhkan institusi kekeluargaan.

3. Jangan pula ada di kalangan kita yang terkeliru memahami konsep Rahmatan lil Alamin sehingga membenarkan kemungkaran peribadi dengan istilah kosmetik seperti personal sphere dan public sphere. Perkara kemungkaran harus ditangani secara menyeluruh.

4. Dengan sebab itu al-Quran bertegas melarang kemungkaran ini bahkan Allah menyifatkan perbuatan hubungan sejenis mereka sebagai perbuatan yang keji (fahishah) dan melampau (musrifun). Firman Allah:

وَلُوطًا إِذْ قَالَ لِقَوْمِهِ أَتَأْتُونَ الْفَاحِشَةَ مَا سَبَقَكُمْ بِهَا مِنْ أَحَدٍ مِنَ الْعَالَمِينَ . إِنَّكُمْ لَتَأْتُونَ الرِّجَالَ شَهْوَةً مِنْ دُونِ النِّسَاءِ بَلْ أَنْتُمْ قَوْمٌ مُسْرِفُونَ

“Ingatlah ketika Nabi Lut berkata kepada kaumnya: “Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari sebelum kamu? “Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas.”

5. Maka tidak hairanlah juga apabila Rasulullah turut bersikap keras dalam perkara ini dengan melaknat mereka yang melakukan perlakuan Gay ini. Sabda Rasulullah:

لَعَنَ اللَّهُ مَنْ عَمِلَ عَمَلَ قَوْمِ لُوطٍ ، لَعَنَ اللَّهُ مَنْ عَمِلَ عَمَلَ قَوْمِ لُوطٍ ، ثَلاثًا

“Allah melaknat mereka yang melakukan amalan kaum Nabi Lut. Rasulullah mengulangi laknat ini sebanyak tiga kali.”. (HR Ahmad, dinilai Hasan oleh al-Arna’ut)

6. Atas dasar dalil al-Quran dan hadith di atas, para sahabat turut mengenakan hukuman yang keras terhadap pelaku liwat. Malah, al-Imam al-Syafie menjelaskan bahawa pelaku liwat boleh dihukum rejam. Kata al-Syafie:

قال الشافعي : وبهذا نأخذ برجم اللوطي محصناً كان أو غير محصن

“Kata al-Imam al-Syafie: dengan ini kami berpandangan bahawa pelaku liwat hendaklah direjam samada sudah berkahwin atau belum.” (al-Shaukani, Nail al-Autar)

7. Andai sekiranya Allah menyifatkan pelaku gay ini sebagai melakukan dosa besar, Rasulullah melaknat golongan ini, para sahabat turut mengenakan hukuman yang keras dan begitu juga al-Imam al-Syafie, tergamakkah kita bersikap dengan sikap yang bercanggah dengan Allah dan Rasul sehingga sanggup kita menyokong golongan gay ini?

Semoga Allah memberikan hidayah buat kita semua. Semoga Allah menyelamatkan kita dari kecelaruan pemikiran liberal yang merosakkan ajaran Islam. Semoga Allah membimbing kita.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis. Ia tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), mahupun Ismaweb.net.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close