Berita Utama

Polis Perak perhebat usaha banteras jenayah dalam talian

Tiada kesedaran dan kurang maklumat punca ramai tertipu

BANGI, 12 Jamadilakhir 1443H, Sabtu – Tiada kesedaran dan maklumat menyebabkan masih ramai di Perak menjadi mangsa penipuan membabitkan ‘scammer’ atau penipuan dalam talian hingga kerugian ribuan ringgit.

Malah sebanyak 2,021 kertas siasatan dibuka membabitkan kerugian hampir RM70 juta yang direkodkan sepanjang tahun lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, mangsa terdiri pelbagai lapisan umur dan latar belakang termasuk pesara serta golongan profesional yang kebanyakannya tidak mempunyai maklumat modus operandi kegiatan tersebut.

“Dalam kejadian pada dua hari lalu, seorang mangsa kerugian RM174,000 selepas menerima panggilan daripada syarikat insurans yang mendakwa kononnya dia ada buat tuntutan palsu.

“Jenayah dalam talian paling popular, ramai yang tertipu. Ada yang tertipu membeli barang dalam talian, mereka yang terpedaya akibat takut dan menyerahkan wang kepada individu menyamar sebagai pihak berkuasa.

“Ada juga yang berkenalan di media sosial hingga terpedaya menyerahkan wang dan menyamar sebagai rakan menggunakan profil (gambar di media sosial atau aplikasi telefon bimbit) meminta pinjaman wang dan penipuan berlaku kerana mangsa tiada maklumat berkaitan kegiatan penipuan ini,” katanya seperti dipetik akhbar tempatan, hari ini.

Mior Faridalathrash berkata, pihaknya kini memperhebatkan usaha mengekang jenayah dalam talian, selain membanteras kegiatan dadah yang menjadi fokus utama tahun ini.

“Kebanyakan mangsa mengambil sikap mudah untuk tidak buat laporan polis kerana kerugian yang dialami sedikit contohnya RM50 sedangkan sindiket terbabit masih berleluasa.

“Apa juga amaun kerugian, datang ke balai untuk buat laporan supaya pihak polis akan terus mengesan dan mengambil tindakan sindiket ini dari terus memperdaya masyarakat selain orang awam juga dinasihatkan tidak mendedahkan maklumat perbankan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button