Berita UtamaUtama

BMF: Tingkat ekonomi Islam

Walaupun kecil tetap beri impak positif

Oleh Nurul Atikah Mohd Rosli

BANGI, 11 Rabiulawal 1441H, Jumaat – Kempen Beli Produk Muslim atau Buy Muslim First (BMF) secara tidak langsung membantu dalam meningkatkan ekonomi orang Islam.

Penganalisis ekonomi, Prof Madya Dr Abu Sofian Yaacob berkata, walaupun berniaga secara kecil-kecilan namun tetap memberi impak positif kepada ekonomi.

“Peniaga kini walaupun berniaga secara kecil, kita lihat ia semakin berkembang dengan baik. Sebagai contoh orang Islam memberi sokongan seperti pergi ke pasar raya dengan memilih produk Islam, Bumiputera dahulu.

“Jadinya dengan ada kumpulan sokongan produk BMF ini, sedikit sebanyak membantu industri dan meningkatkan ekonomi Islam.” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Dalam pada itu, Abu Sofian berkata, industri kecil dan sederahana (IKS) juga banyak membantu dalam penghasilan ekonomi yang baik.

Katanya, masyarakat tidak wajar memperlekehkan keupayaan IKS yang merupakan tulang belakang kepada ekonomi negara ketika ini.

“Saya lihat, jika diberi masa dua atau tiga tahun untuk berkempen lagi, orang Islam akan berani ceburi bidang ini.

“Selain itu, janganlah kita berharap kempen ini berkembang sebanyak 180 darjah, ia perlu dilakukan berperingkat. Insya-Allah ia akan memberi kesan yang lebih besar,” katanya.

BMF dilancarkan Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain bertujuan memberi galakan kepada ekonomi orang Islam selain mengetengahkan produk serta perkhidmatan halal di seluruh negara.

UMMAH telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama KOHILAL dan Abata, dalam usaha melaksanakan kempen berkenaan.

Kempen berkenaan memfokuskan kepada peniaga yang tidak diberi ruang oleh pasaraya-pasaraya besar untuk memasarkan produk mereka.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close