Berita UtamaPendapatUtama

Pertuduhan dibatal, apa di sebaliknya?

Tindakan batal 2 tuduhan terhadap ADUN DAP jejas kredibiliti polis

KITA tentu dapat merasa kekecewaan polis apabila pihak pendakwa memohon membatalkan dua kes yang dihadapkan di mahkamah kerana dituduh terbabit dengan pengganas LTTE.

Adakah polis tidak menyediakan bukti pertuduhan yang lengkap hingga membuatkan pihak pendakwa memohon membatalkan dua pertuduhan ke atas tertuduh?

Mahkamah Sesyen Seremban baru-baru ini telah membenarkan permohonan pasukan pendakwaan untuk membatalkan dua pertuduhan memiliki barang berkaitan LTTE ke atas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seremban Jaya, P Gunasekaran.

Timbalan Pendakwa Raya Aslinda Ahad mengemukakan permohonan itu di hadapan Hakim Madihah Harullah.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua sebelum ini, Gunasekaran didakwa memiliki barangan berhubung kait LTTE di pejabat dan kediaman.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di nombor 2844, Jalan SJ 3/6B, Taman Seremban Jaya dan nombor 139, Kampung Baru Rahang, Seremban, masing-masing pada 9.58 pagi dan 11.50 pagi, 10 Oktober lalu.

Kenapa pasukan pendakwa bertindak membatalkan dua pertuduhan ke atas tertuduh tanpa melalui perbicaraan? Adakah ini rule of law yang dijaja oleh kerajaan baru setahun ini?

Tentu sekali sangat sukar untuk menyalahkan polis menahan individu yang tidak bersalah. Sebelum ini ada parti politik kerajaan yang menyalahkan kerajaan menahan pemimpin yang dikaitkan dengan LTTE.

Tindakan pasukan pendakwa ini telah menjejaskan kredibiliti polis. Siapa sebenarnya di belakang yang menjadi faktor pendakwa membatalkan pertuduhan?

Apakah ini satu isyarat bahawa semua mereka yang dikaitkan dengan LTTE dan didakwa di bawah SOSMA akan dilepaskan dan dibebas?

Rakyat hanya berharap rule of law bukan pemanis yang menambah perisa kepada kerajaan baru Malaysia. Ironinya pelanggaran rule of law berlaku dengan sewenang-wenang. Itulah yang rakyat yang tidak tahu rule of law nampak.

Ku Seman Ku Hussain
Bekas Pengarang Mingguan Malaysia

Artikel ini telah disiarkan lebih awal di blog kuseman.com dan diulang siar di Ismaweb dengan izin penulis.

Penafian: Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close