Berita UtamaDuniaUtama

Filipina kenalkan peraturan baru

Kembangkan potensi dimilik bank Islam untuk keperluan umat Islam

MANILA, 10 Rabiulawal 1441H, Khamis – Filipina berhasrat memperkenalkan undang-undang baharu bagi mengembangkan sistem perbankan Islam di negara ini menjelang tahun hadapan.

Timbalan Gabenor Bangko Sentral ng Pilipinas (BSP), Chuchi Fonacier berkata, pengenalan kepada peraturan bank Islam merupakan keutamaan pihaknya sejajar dengan Akta Republik No. 11439 yang ditandatangani Presiden, Rodrigo Duterte pada bulan Ogos lalu.

Beliau berkata, pihaknya membayangkan kaedah pengawalseliaan yang dapat menampung sistem kewangan Islam dalam kerangka kerja yang fleksibel tetapi sekular.

“Sebagai contoh, cadangan kerangka pelesenan untuk bank Islam akan berlatarbelakangkan rangka kerja pelesenan sedia ada untuk bank konvensional dengan keperluan tambahan yang mengiktiraf ciri-ciri kewujudan perbankan dan kewangan Islam khususnya pematuhan syariah,” katanya.

Fonacier menegaskan, di bawah akta berkenaan juga bank Islam akan beroperasi penuh di negara ini dengan BSP bakal memperkenalkan pendekatan terbuka di mana bank konvensional boleh mengendalikan perbankan Islam atau menubuhkan subsidiari.

Selain itu, katanya, bank Islam dari negara luar juga dibenarkan untuk beroperasi di Filipina di bawah syarat pindaan kepada akta lain yang meliberalisasikan kemasukan dan skop mereka.

Akta Republik No. 11439 dijangka memperkembangkan lagi akses kepada perkhidmatan perbankan dalam kalangan orang Islam termasuk mereka yang menetap di wilayah Bangsamoro.

Sebelum ini, Gabenor BSP, Benjamin Diokno memuji keputusan kerajaan mewujudkan akta berkenaan yang pada pendapat beliau mampu mengeluarkan potensi sebenar kewangan Islam dalam pembangunan ekonomi secara inklusif.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close