Berita UtamaDuniaUtama

260 maut sejak protes tuntut kerajaan Iraq berundur

PM minta rakyat henti demo kerana beri kesan buruk pada ekonomi

BAGHDAD, 9 Rabiulawal 1441H, Rabu – Iraq terus bergolak, apabila semalam sekurang-kurangnya 13 penunjuk perasaan ditembak mati pasukan keselamatan dalam tempoh 24 jam.

Dilaporkan lapan orang terbunuh pada Isnin, kemudian pasukan keselamatan menembak mati sekurang-kurangnya lima yang lain semalam, termasuk seorang yang ditembak mati ketika hadir ke pengebumian rakannya, kata sumber keselamatan dan perubatan kepada Reuters.

Lebih daripada 260 rakyat Iraq telah terbunuh dalam protes sejak awal bulan Oktober lalu, bagi menggesa parti-parti politik yang berkuasa sejak 2003 berundur.

Keganasan baru berlaku sehari selepas Perdana Menteri, Adel Abdul Mahdi merayu kepada penunjuk perasaan untuk menangguhkan pergerakan mereka, yang katanya telah memberikan kesan buruk kepada ekonomi.

Adel berkata, beliau sanggup meletak jawatan jika ahli-ahli politik bersetuju dengan penggantian dan menjanjikan beberapa pembaharuan. Tetapi penunjuk perasaan mengatakan bahawa itu tidak mencukupi dan semua ahli politik perlu berundur.

“Selepas gelombang pertama protes, kami memberi kata putus kepada kerajaan sehingga 25 Oktober untuk membuat pembaharuan,” kata seorang penunjuk perasaan berusia 30 tahun, yang enggan memberikan nama. 

Beliau berkata, penggunaan kuasa keganasan dan maut terhadap penunjuk perasaan telah meradikalkan rakyat yang pada mulanya hanya mahukan pembaharuan Perlembagaan dan perundangan.

“Sekarang mereka mahukan perubahan besar-besaran,” katanya.

Rakyat menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap kepimpinan Iraq sejak beberapa tahun kebelakangan ini disebabkan peningkatan pengangguran dan rasuah yang semakin teruk.- Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close