Berita UtamaGambar PilihanIstimewaUtama

‘Ini calon kita tunggu-tunggu’

Penduduk teruja beramah mesra dengan calon Berjasa, Tok Badh

PONTIAN, 8 Rabiulawal 1441H, Selasa – “Memang ini yang saya tunggu-tunggu,” kata seorang penduduk teruja apabila bersemuka dengan calon Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) yang akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, kurang 12 hari sahaja lagi.

Pengundi yang juga peniaga Pasar Tani di Tanjung Piai itu berkata, calon yang diketengahkan pada PRK kali ini adalah lain daripada yang lain.

Hari ini, calon yang juga Presiden Berjasa, Prof Datuk Ir Dr Badrulhisham Abd Aziz menyantuni penduduk menerusi lawatan ke Pasar Tani, di Kampung Serkat, Pontian.

Meyakinkan pengundi yang ditemui itu, Datuk Badrulhisham atau lebih mesra panggilan Tok Badh berkata, beliau mempunyai prinsip perjuangan untuk memartabatkan Islam dan Melayu di bumi ini.

Bertepatan dengan moto Berjasa, undi calon muslim berwibawa, Badrulhisham yakin kredibiliti beliau mampu untuk menarik pengundi Tanjung Piai menggesa supaya mereka mengutamakan calon Melayu dan Islam, tambahan pula kawasan Parlimen itu dikomposisi majoriti penduduk Melayu.

“Jadi, minta ajak kawan-kawan dan saudara mara untuk undi Berjasa,” katanya.

PRK Tanjung Piai yang bakal diadakan pada 16 November ini menyaksikan pertembungan enam penjuru menampilkan calon Berjasa, Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gerakan dan dua calon bebas.

Tok Badh dipertaruhkan sebagai pencabar kepada calon muslim daripada PH, Karmaine Sardini dan calon bebas, Faridah Aryani Abdul Ghaffar.

Pertembungan itu turut membabitkan calon BN, Datuk Seri Wee Jeck Seng; calon Gerakan, Wendy Subramniam dan seorang lagi calon bebas, Dr Ang Chuan Lock.

PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Dr. Md Farid Md Rafik, 42, daripada Bersatu yang mewakili PH pada 21 September lalu, akibat komplikasi jantung.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 Mei tahun lepas, Allahyarham Dr Md Farid memenangi kerusi itu dalam pertandingan tiga penjuru dengan memperoleh 21,254 undi menewaskan Wee (BN-MCA) dan Nordin Othman (PAS) dengan majoriti 524 undi.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close