Berita UtamaGambar PilihanIstimewaUtama

Tiada fatwa agih zakat kepada bukan Islam di Terengganu

Hanya bukan muslim diyakini peluk Islam saja boleh terima zakat: Mufti

Oleh Fazleen Safina

BANGI, 5 Rabiulawal 1441H, Sabtu – Tiada fatwa di Terengganu yang meluluskan supaya zakat diagihkan kepada golongan bukan Islam, kata Muftinya, Datuk Dr Haji Zulkifly  Haji Muda.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan media mengatakan Perlis meluluskan fatwa membolehkan wang zakat diberi kepada bukan muslim di bawah asnaf ‘muallafah qulubuhum’.

Zulkifly berkata, beliau tidak bersetuju zakat diberikan orang bukan Islam kerana zakat dikaitkan dengan ibadat dan ia ada kesuciannya tersendiri sehingga ada ulama yang kata diberikan kepada orang tidak solat pun tidak dibenarkan, apatah lagi kepada orang bukan Islam.

Katanya lagi, kebanyakan ulama berpendapat bahawa agihan zakat hanya perlu diagihkan kepada umat Islam serta tidak membenarkan ia diberi kepada bukan Islam.

“Pengagihan zakat kepada bukan Islam bertentangan dengan undang-undang zakat.

“Jadi, ia harus dilaksanakan berteraskan undang-undang ibadat itu kerana zakat mempunyai kesucian tersendiri,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, terdapat juga ulama mengatakan bahawa zakat hanya boleh diagihkan kepada bukan Islam, sekiranya mereka diyakini akan memeluk Islam.

“Oleh itu, dakwah kita terhadap bukan Islam secara langsung akan sampai kepada mereka,” katanya.

Sebelum ini, Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dilaporkan berkata, golongan bukan muslim layak menerima bantuan zakat atas syarat yang ditentukan oleh Ulil Amri atau pemerintah.

Katanya, Perlis telah membuat transformasi sejak lebih dua tahun lepas apabila Jawatankuasa Fatwa Negeri yang mengadakan mesyuarat kali ke 26/2017 pada 3 Febuari 2017 memutuskan wang zakat boleh diberi kepada asnaf bukan muslim selain daripada asnaf muslim.

Sebelum ini juga, Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan supaya institusi zakat melakukan pembaharuan dengan memperluaskan bantuan kepada orang bukan Islam.

Presiden PKR itu berkata, dalam konteks masyarakat berbilang bangsa di Malaysia tidak sesuai hanya masyarakat Islam dibantu, tetapi penganut agama lain dipinggirkan.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close