Berita UtamaUtama

UMNO gagal sambut sentimen kebangkitan orang Melayu

Isma kesal BN berdegil letak calon Cina di Parlimen Tanjung Piai

BANGI, 3 Rabiulawal 1441H, Khamis – Gerakan Islam utama, Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) kesal dengan keputusan Barisan Nasional (BN) meletakkan Wee Jeck Seng daripada parti perkauman, MCA sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

Presidennya, Aminuddin Yahaya berkata, UMNO gagal menyambut sentimen kebangkitan orang Melayu yang rata-rata mengharapkan calon Melayu diletakkan di kawasan majoriti Melayu.

“UMNO seolah-olah masih tidak belajar daripada apa yang berlaku dalam PRU lalu yang jelas menunjukkan sokongan orang Cina sudah tidak menyebelahi UMNO atau BN. Apa lagi signal yang UMNO mahu?

“Apakah UMNO takut dengan ugutan MCA sekiranya calon Melayu diletakkan? Jika benar, ini bermakna UMNO hanya menempah keranda pada PRU akan datang,” kata beliau kepada Ismaweb.net hari ini.

Pada perkembangan sama, Aminuddin yang juga Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) menjangkakan, ramai orang Melayu tidak akan keluar mengundi pada PRK Tanjung Piai.

“Ini kerana orang Melayu tidak mahu memangkah calon Cina pada masa sama menolak calon daripada Pakatan Harapan (PH),” kata beliau.

Terdahulu, Jeck Seng yang juga bekas Ahli Parlimen Tanjung Piai, diumumkan sebagai calon BN pada PRK Parlimen Tanjung Piai. Pengumuman itu dibuat Pengerusi BN Johor, Datuk Hasni Mohammad.

Jeck Seng menjadi Ahli Parlimen Tanjung Piai selama dua penggal pada 2013 hingga 2018, dan sebelumnya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pekan Nanas pada 2004 hingga 2008.

Dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Jeck Seng tewas kepada Datuk Dr Md Farid Md Rafik dengan majoriti 524 undi.

PH pula mencalonkan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tanjung Piai, Karmaine Sardini, 66, yang seorang ahli perniagaan.

PRK Tanjung Piai diadakan berikutan kematian Dr Md Farid, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri 21 September lalu akibat komplikasi jantung.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close