Berita UtamaGambar PilihanIstimewaUtama

Pemilik Kg Baru disyor tubuh koperasi elak ‘pecah perintah’

Pemaju kena beli daripada koperasi dengan nilaian harga sebenar

BANGI, 1 Rabiulawal 1441H, Selasa – Pemilik tanah Kampung Baru disyor menubuhkan koperasi sebagai pilihan untuk tidak terus menjual tanah milik mereka kepada kerajaan, kata Naib Presiden Berjasa, Ustaz Hazizi Abdul Rahman.

Beliau berkata, sekiranya pemaju mahu memiliki tanah di kawasan Kampung Baru, mereka perlu membeli daripada koperasi yang ditubuhkan dengan nilaian harga sebenar mengikut pasaran.

“Dengan penubuhan koperasi ini, setiap pemilik tanah Kampung Baru akan mempunyai saham berdasarkan nilai tanah masing-masing

“Ini sebenarnya cara untuk elak dasar ‘pecah perintah’ yang hanya menguntungkan sebelah pihak sahaja,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Sebelum ini, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad mengumumkan kadar baharu bagi pembelian tanah di Kampung Baru dengan nilai RM1,000 satu kaki persegi, yang mana RM850.00 akan dibayar berdasarkan pilihan pulangan yang dipilih pemilik tanah sama ada dalam bentuk tunai; tunai dan aset; aset sahaja; atau saham.

Sementara baki RM150.00 lagi, beliau berkata, pulangannya adalah berbentuk pegangan saham dalam Syarikat Tujuan Khas (SPV) yang akan ditubuhkan kelak.

Khalid juga berkata, kira-kira 90 peratus pemilik tanah bersetuju dengan tawaran RM850 bagi setiap satu kaki persegi oleh kerajaan.

Tidak bersetuju dengan tawaran kerajaan yang dianggap tidak menguntungkan generasi Melayu, Ustaz Hazizi yakin wang yang diperolehi selepas pemilik menjual tanah mereka akan habis begitu sahaja.

“Biasanya sekejap sahaja habis atau tak sampai pun generasi kedua. Berbeza dengan penubuhan koperasi, wang yang disalurkan akan lebih terjaga berbanding diterima secara individu.

“Malah, penubuhan koperasi ini juga mampu menjana kekayaan orang Melayu Kampung Baru untuk bersaing dengan kapitalis kaum lain.

“Koperasi ini adalah model kesepakatan bagi mengupayakan ekonomi orang Melayu,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close